fbpx
PACHEONSUK (dua dari kanan) bersama penyelidik bergambar dengan makmal akuarium Innoqua.

USM, UMT guna makmal akuarium moden untuk kajian marin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, ekosistem marin global semakin terancam akibat perubahan iklim, pembangunan serta aktiviti manusia yang tidak terkawal di kawasan pesisir pantai.

Kesannya, ekosistem seperti terumbu karang, rumpai laut serta kehidupan marin berhadapan dengan ancaman.

Penyelidikan dan pendidikan untuk menjaga ekosistem marin wajar dilakukan bagi memastikan ia terus terpelihara untuk generasi masa hadapan.

Untuk itu, Innoqua Inc. dari Jepun melalui anak syarikatnya, Innoqua Asia Sdn. Bhd. (Innoqua Asia) mengambil inisiatif untuk menubuhkan makmal akuarium penyelidikan marin di Malaysia.

Penyediaan makmal itu dilaksanakan di bawah geran Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) daripada kerajaan Jepun.

Geran itu merupakan sebahagian daripada Projek Subsidi Penciptaan Bersama Berorientasikan Masa Depan Global South di bawah Bajet Tambahan Tahun Kewangan 2024 oleh METI.

Makmal tersebut berfungsi sebagai platform untuk kerjasama penyelidikan bersama universiti tempatan, institusi penyelidikan dan rakan industri.

Matlamat utama makmal itu adalah mempercepatkan usaha pemuliharaan terumbu karang terutamanya pemulihan ekosistem marin di Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Innoqua Asia Sdn. Bhd., Dr. Pacheonsuk Theranukul berkata, mereka memilih untuk membuka makmal tersebut di Malaysia kerana negara ini terletak di Asia Tenggara.

Menurutnya, Asia Tenggara merupakan antara wilayah marin paling kaya dengan biodiversiti di dunia.

“Malaysia juga berada di tengah rantau Asia Tenggara, jadi mudah untuk bergerak ke mana-mana negara lain.

“Selain itu, kerajaan Malaysia memberikan sokongan yang sangat baik. Inilah sebab utama kami memilih Malaysia,” katanya.

Tambah Pacheonsuk, selepas menubuhkan syarikat di negara ini, pihaknya telah mengadakan kerjasama dengan universiti tempatan untuk penyelidikan serta melaksanakan program pendidikan.

Untuk makluman, pada 2024, Innoqua telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk memperkukuhkan penyelidikan dan pembangunan berkaitan pemuliharaan serta pemulihan terumbu karang melalui penyelidikan bersama.

Manakala pada masa lalu, syarikat itu telah memetrai MoU dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk memperkukuhkan kerjasama dalam penyelidikan te­rumbu karang.

Melalui MoU tersebut, penyelidikan dilakukan dengan menggunakan teknologi inovatif Biosphere Transfer Technology yang diperkenalkan oleh Innoqua.

Akuarium marin milik Innoqua membolehkan persekitaran marin direplikasi dalam tetapan makmal terkawal.

Teknologi tersebut membolehkan persekitaran marin direplikasi dalam tetapan makmal terkawal.

Pendekatan itu juga membolehkan persekitaran marin dihasilkan semula di daratan melalui kawalan terhadap parameter utama alam sekitar seperti kualiti air, pencahayaan dan aliran air.

Pacheonsuk memaklumkan, teknologi itu hanyalah sebuah platform.

“Penyelidik boleh menggunakan platform ini untuk kajian, dan berkongsi pengetahuan dengan pihak lain.

“Oleh itu, kami berharap dapat berkongsi teknologi ini kepada semua pihak untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik di Malaysia,” jelasnya.
Tambah Pacheonsuk, pihaknya juga memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan USM dan UMT kerana kedua-dua universiti itu popular dalam bidang marin.

Pada masa hadapan, Innoqua menyasarkan untuk memperluaskan lagi kerjasama dengan universiti dan institusi penyelidikan, sekali gus mewujudkan peluang pembelajaran rentas disiplin yang menghubungkan penyelidikan serta pendidikan.

Malah, Innoqua akan mengadakan bengkel ekosistem terumbu karang dan alam sekitar marin di makmal milik mereka di Cyberjaya, Selangor pada 15 Mei ini.

Sementara itu, penyelidik di Pusat Penyelidikan Dasar (CPR), USM, Dr. Nur Ain Amani Abdul Mubin berkata, kemudahan penyelidikan sedia ada di universiti masih menggunakan alat-alat lama seperti akuarium yang sederhana dan sistem air asas.

Menurutnya, Innoqua membangunkan satu sistem yang jauh lebih moden dan sesuai untuk mengumpul data-data saintifik marin.

“Sistem akuarium ini sangat berguna bukan hanya untuk mengumpul data saintifik. Kita juga dapat guna data ini untuk diterjemahkan ke dalam bentuk polisi yang boleh dikongsi dengan komuniti.

“USM sendiri ada menjalinkan kerjasama dengan Innoqua ,dan kami fokus untuk melakukan penyelidikan terhadap terumbu karang, gamat dan alga mikro,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN