BERBICARA tentang kanser, ia adalah satu penyakit serius yang memberi kesan besar kepada kesihatan individu.
Malaysia sendiri tidak terlepas daripada penyakit tersebut dan setiap tahun, ramai pesakit didiagnosis dengan kanser.
Malah, diramalkan penghidap kanser di Malaysia bakal meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040.
Pakar Perubatan Kanak-kanak, Hematologi & Onkologi Kanak-kanak dan Transplan Hematologi Kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Mohamed Najib Mohamed Unni berkata, kanser merujuk kepada keadaan di mana sel dalam badan yang membesar secara luar kawalan dan kemudian merebak ke bahagian badan yang lain.
Menurutnya, kanser bukan hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa, malah kanak-kanak juga berisiko menghidapnya.

“Walaupun jarang berlaku, kanser juga dikesan pada bayi seawal usia kurang daripada satu tahun, malah dalam kes tertentu, terdapat juga bayi berusia sebulan yang menghidapnya,” kata Dr. Mohamed Najib.
Dalam pada itu, kanser bukanlah penyakit keturunan secara umum dan sesiapa sahaja boleh berhadapan dengan penyakit ini termasuk kanak-kanak.
Di Malaysia sendiri, kekerapan kanser dalam kalangan kanak-kanak adalah sekitar 700 hingga 800 kes baharu setiap tahun.
Dr. Mohamed Najib menjelaskan, dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia, terdapat tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku iaitu kanser darah ataupun leukemia, barah otak, dan kanser limfoma.
“Leukemia merupakan kanser paling biasa dalam kalangan kanak-kanak, ia mempunyai beberapa jenis iaitu akut dan kronik.
“Ibu bapa perlu peka kerana terdapat beberapa perubahan fizikal dan simptom yang perlu diberi perhatian serius untuk mengesan kanser ini dalam kalangan kanak-kanak,” jelasnya.
Tambahnya, antara tanda-tanda leukemia adalah badan mudah lebam, semakin pucat, sering mengadu sakit atau bengkak sendi dan demam berpanjangan.
Dalam pada itu, barah otak merupakan kanser kedua paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Tanda-tanda awal kanser ini juga sering kelihatan seperti perubahan kecil dalam tingkah laku atau fizikal anak.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang sebelum ini aktif dan tiada masalah berjalan, tiba-tiba mula kerap terjatuh ketika berjalan.
Selain itu, perubahan pada mata juga merupakan petunjuk penting.
Jika seorang kanak-kanak yang sebelum ini matanya tiada masalah, tetapi tiba-tiba menjadi juling, ia boleh menjadi tanda kepada barah otak.
Tanda lain kepada kanser ini adalah apabila kanak-kanak sering mengadu sakit kepala.
Dr. Mohamed Najib berkata, bagi kanser limfoma yang turut sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak, antara tanda yang boleh dilihat adalah apabila berlaku bengkak kelenjar di leher dan bawah ketiak.
“Selain itu, perut kembung, demam yang tidak hilang, peluh berlebihan dan kurang berat badan boleh menjadi tanda kanser limfoma.
“Jika ibu bapa melihat perubahan yang drastik dalam kalangan anak-anak, bawa mereka berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan diagnosis yang tepat,” tegasnya.
Dalam masyarakat, masih wujud persepsi bahawa apabila kanak-kanak disahkan menghidap kanser, peluang untuk sembuh adalah tipis dan sering dikaitkan dengan kematian.
Hakikatnya, tanggapan ini tidak sepenuhnya tepat.
Dr. Mohamed Najib menekankan bahawa, peluang untuk kanak-kanak yang didiagnosis dengan kanser untuk sembuh adalah sangat baik.
“Secara umumnya, peluang untuk kanak-kanak itu sembuh adalah 80 peratus hingga 85 peratus jika kanser itu dapat dikesan dengan lebih awal.
“Sebagai contoh, untuk leukimia di Malaysia dengan rawatan yang kita ada, kadar untuk pesakit itu sembuh boleh menjangkau sehingga 90 peratus,” katanya.
Tambahnya, peluang untuk sembuh amat bagus, tetapi dengan syarat kanser itu dapat dikesan awal dan pesakit mengikuti rawatan yang disarankan oleh doktor.
Walaupun ada kes tertentu di mana kanser dikesan lewat dan mempunyai risiko yang lebih tinggi, secara keseluruhannya, harapan untuk sembuh adalah tinggi.
Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya berputus asa dan dengan rawatan yang tepat, sokongan berterusan dan tindakan awal, kanak-kanak yang menghidap kanser masih mempunyai peluang yang tinggi untuk pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Dr. Mohamed Najib berkata, rawatan kanser dalam kalangan kanak-kanak secara khususnya telah pesat berkembang.
“Dengan rawatan yang lebih efektif hari ini, peluang untuk sembuh semakin meningkat, sekali gus memberi harapan yang lebih baik kepada pesakit,” jelasnya.
Mengakhiri kata, Dr. Mohamed Najib menitipkan pesan supaya masyarakat lebih peka terhadap kesihatan kanak-kanak.
“Jika ada tanda-tanda kanser, lakukan pengesanan dengan lebih awal.
“Lebih awal kita mengesan kanser, peluang untuk sembuh lebih tinggi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE













