fbpx
Mohd. Azani (tiga dari kanan) dan Vigneswaran (tiga dari kiri) bergambar bersama para pelajar pada Program Forum Generasi Anti Jenayah siri 1 Peringkat Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

PDRM perkukuh kerjasama cegah jenayah di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memperkukuh kerjasama dengan pihak sekolah dan komuniti dalam usaha memperkasakan pencegahan jenayah dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azani Omar berkata, pendekatan pendidikan dan kesedaran perlu diperkasakan bagi memberi pendedahan awal kepada murid mengenai bahaya gejala sosial termasuk buli, vandalisme dan jenayah siber.

“Kerjasama antara PDRM, sekolah dan komuniti penting dalam membentuk murid berdisiplin, berjati diri serta berani menolak jenayah,” katanya ketika merasmikan Program ‘Forum Gen Anti Jenayah’ melibatkan penyertaan 500 murid dari 15 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di sekitar Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Maju Institute of Educational Development (MIED), Tan Sri S. Vigneswaran dan Timbalan Pengarah Pendidikan Kuala Lumpur, Aziz Hashim.

Beliau berkata, program itu merupakan platform terbaik untuk memupuk kesedaran selain menjadikan murid sebagai agen perubahan dalam membantu mencegah jenayah di peringkat awal.

Katanya, PDRM akan terus komited memperluas kerjasama strategik bersama institusi pendidikan demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan harmoni.

Sementara itu, Vigneswaran menyifatkan penganjuran program berkenaan tepat pada masanya memandangkan keberkesanan sesuatu tindakan bergantung kepada usaha pencegahan sebelum jenayah berlaku.

Katanya, MIED sebagai institusi pendidikan akan terus menyokong usaha anti-jenayah dan menyasarkan penglibatan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada masa hadapan.

Forum selama sehari itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid tentang bahaya melanggar undang-undang serta kepentingan disiplin dalam membentuk masa depan yang lebih terjamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN