SEREMBAN – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan daripada Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri serta kelangsungan pentadbiran.
Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, langkah itu penting bagi memastikan pembangunan negeri terus berjalan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Menurut beliau, lima ADUN PN mengikuti rapat perkembangan krisis kepimpinan kerajaan negeri yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
“Kami mewakili rakyat Negeri Sembilan berasa kesal kerana krisis ini menjejaskan keberkesanan pentadbiran sehingga Sidang Dewan Undangan Negeri terpaksa ditangguhkan tanpa tarikh baharu,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Beliau turut mendakwa situasi itu membuktikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun gagal menangani krisis berkenaan secara bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Mohamad Hanifah menegaskan bahawa lima ADUN PN sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda utama perjuangan mereka.
Dalam sidang akhbar sama, Mohamad Hanifah turut menyerahkan surat kerjasama kepada wakil UMNO Negeri, Datuk Mustapha Nagoor yang juga ADUN Palong.
Krisis berkenaan semakin meruncing apabila 14 ADUN BN Negeri Sembilan dilaporkan sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau. – KOSMO! ONLINE














