KLANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam membantu percepatkan laporan bedah siasat pelajar yang menjadi mangsa bunuh rakan sekolahnya di Bandar Utama dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, laporan penuh dijangka mengambil masa kerana melibatkan penelitian menyeluruh oleh pakar patologi.
“Saya berpendapat mungkin dalam tempoh sebulan. Namun kita bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan terutama pakar patologi kalau dapat membantu mempercepatkan.
“Namun (cepat pengeluaran laporan bedah siasat itu) bergantung kepada pakar patologi itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas walkabout bersama usahawan Little India sempena Deepavali di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau enggan mendedahkan jumlah tikaman pada tubuh badan mangsa berusia 16 tahun tersebut akibat tindakan suspek berusia 14 tahun.
“Lain-lain (tikaman) pada tubuh badan adalah wajar tunggu laporan bedah siasat yang lebih komprehensif sebab pemeriksaan dilakukan pakar patologi,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan mayat mangsa selesai dibedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pukul 10.30 malam kelmarin sebelumnya mayatnya dituntut pukul 7.30 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE