MUAR – Tindakan jahat seorang bekas mekanik membakar rumah serta kenderaan milik ahli keluarganya berbalas apabila dia disumbat ke dalam penjara selama sembilan tahun lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohd Khairi Haron membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Nabil Abu Bakar, 32, tidak mampu membayar denda selepas mengaku salah tiga pertuduhan melakukan khianat dengan api.
Terdahulu, lelaki itu dijatuhi dipenjara enam tahun dan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua manakala pertuduhan ketiga, penjara lapan tahun dan denda RM10,000.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak didakwa melakukan khianat dengan api dengan membakar rumah milik bapanya berusia 70 tahun di Jalan Jeram Kampung Tengah, Jalan Bakri, di sini, pada pukul 9.20 pagi, 17 September lalu.
Kesalahan ini dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan perkara sama dengan membakar kereta dan motosikal milik ibu dan adik lelakinya masing-masing berusia 59 dan 35 tahun dengan semua kejadian berlaku ada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Untuk kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 435 kanun sama yang mana boleh dipenjara sehingga 14 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan berhubung kebakaran sebuah rumah serta dua buah kenderaan yang dilakukan seorang lelaki iaitu tertuduh.
Siasatan polis mendapati, sebelum kejadian, tertuduh dilaporkan positif dadah jenis methampethamin bertindak melibas bapanya dengan rotan serta mencederakan lelaki itu menggunakan pisau.
Tertuduh kemudian masuk ke dalam rumah dan membakar langsir serta beberapa barangan dalam rumah ibu bapanya.
Selain itu, tertuduh juga keluar dan membakar kereta dan motosikal hingga rentung.
Kejadian itu menyebabkan bapanya menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar selain mengalami kerugian mencecah RM150,000. – KOSMO! ONLINE