SAUDARA PENGARANG,
Masih wujud segelintir pengguna jalan raya yang tidak memberhentikan kenderaan di petak yang dilengkapi sensor di lampu isyarat.
Kebanyakan mereka tidak tahu terdapat sistem lampu isyarat yang bergantung kepada sensor untuk mengesan kehadiran kenderaan di petak itu.
Apabila kenderaan di hadapan sekali tidak berhenti di lokasi yang betul, sistem gagal mengesan kehadiran mereka, sekali gus menyebabkan lampu isyarat tidak bertukar hijau seperti sepatutnya.
Keadaan ini akhirnya mencetuskan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.
Kenderaan yang berada di belakang pula terpaksa menunggu lebih lama walaupun tiada masalah teknikal pada sistem lampu isyarat itu sendiri.
Dalam sesetengah keadaan, pengguna terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan turun dari kenderaan untuk menegur pemandu yang tidak berhenti di petak yang betul.
Situasi ini bukan sahaja tidak menyenangkan, malah boleh mengundang ketegangan di jalan raya.
Oleh itu, semua pengguna perlu lebih cakna agar sistem lalu lintas dapat berfungsi dengan lancar dan tidak menimbulkan kesulitan kepada orang lain.
Samad Kamil
Puncak Alam














