SEPANG – Sepasang suami isteri sanggup menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer (km) dari Kulai, Johor ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi meraikan ketibaan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF).
Nur Zulaikha Abdul Latif, 36, bersama suami Muhd. Amin Ab. Rahim, 37, tiba di KLIA pukul 7 malam tadi selepas bertolak dari rumah sekitar pukul 3 petang tadi.
Katanya, dia dan suami hadir bagi memberi sokongan kepada 23 aktivis berkenaan sebagai rakyat Malaysia dan bukannya sebagai ahli keluarga.
“Mereka (aktivis) tiada pertalian darah dengan kami tapi kami hadir bagi memberi sokongan terhadap usaha yang mereka lakukan dalam misi kemanusian itu.
“Saya mengikuti dari awal perjalanan misi itu sehinggalah kesemua aktivis di culik oleh tentera Israel. Situasi itu amat meninggalkan kesal mendalam kepada kami,” katanya ketika ditemui di Terminal 1 KLIA, malam ini.
Muhd. Amin berkata, isterinya mengikuti rapat misi GSF ini dan pernah satu malam tertidur di hadapan konputer riba.
“Saya dan isteri akan bermalam di Kuala Lumpur malam ini sebelum bertolak pulang ke Johor pagi esok,” ujarnya.
Tinjauan wartawan di Terminal 1 KLIA mendapati, orang ramai yang hadir bukan setakat dari sekitar Lembah Kelang malam, namun ada yang dari Melaka dan Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE