KOTA BHARU – Lapan individu termasuk tiga beranak bersama seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengurung tiga lelaki di sebuah rumah di Pasir Puteh dekat sini, kira-kira dua minggu lalu.
Kesemua tertuduh, Norhazri Muhammad Nor, 45, bersama dua anaknya, Muhammad Danish Syahmi, 22 dan Muhammad Darwish Syahmi, 20, termasuk Hazafee Mohamed, 37, Mohd. Hasrun Mohd. Yusof, 37, Mohd. Fairuz Mahasan, 41, Muhammad Najmuddin Ahmad Zamri, 21, dan Marliziana Mohd. Ramli, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Mengikut pertuduhan, tujuh tertuduh lelaki didakwa mengurung tiga lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 30 tahun dengan niat memeras harta di sebuah rumah di Jalan Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh dekat sini kira-kira pukul 4 pagi pada 25 September lalu.
Sementara itu, Marliziana pula dituduh bersubahat dengan menyimpan rahsia mengenai kejadian tersebut di perhentian bas Pasar Peringat di sini kira-kira pukul 4 petang pada hari yang sama.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap empat tertuduh iaitu Norhazri, Hazafee, Mohd. Hasrun dan Mohd. Fairuz.
Tiga lagi tertuduh lelaki ditawarkan jaminan RM5,000 setiap seorang manakala Marliziana pula RM4,000.
Mahkamah menetapkan 30 November depan untuk sebutan semula kes dan keempat-empat tertuduh membayar ikat jamin tersebut.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Norhazri, Hazafee, Mohd. Hasrun dan Mohd Fairuz mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Hakim Zulkifli Abdullah atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata dan menunjukkan senjata api jenis Revolver .38 di bawah jambatan Gong Kulim, Pasir Puteh pada 25 September lalu
Mengikut pertuduhan, empat lelaki itu didakwa melakukan rompakan dengan niat bersama dan menunjukkan pistol sehingga mendatangkan ketakutan kepada tiga lelaki kira-kira pukul 4.35 petang pada tarikh tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan dan keempat-empat tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin selain mahkamah turut menetapkan 9 November depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE