BATU PAHAT – Seorang lelaki berstatus suami orang sanggup menipu isterinya dengan memberi alasan untuk ke Batu Pahat bagi mengikuti kursus di luar daerah untuk bertemu kekasih gelap bagi melepaskan rindu yang terpendam di dalam hati.
Tipu helah lelaki berudia 50-an itu bagaimanapun terbongkar selepas dia dicekup berkhalwat dengan seorang ibu tunggal muda berusia 30-an di dalam sebuah bilik hotel di bandar ini.
Kedua-dua pasangan kekasih itu ditahan menerusi serbuan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada pukul 12 tengah malam semalam.
Menurut sumber JAINJ, kedua-dua individu terbabit bukan berasal dari negeri Johor namun datang ke Batu Pahat semata-mata untuk memadu kasih tanpa disedari oleh isteri serta anak-anaknya.
Malah katanya, hasil siasatan mendapati lelaki dan wanita itu dari daerah yang sama dari negeri lain dan sudah lama menjalinkan hubungan serta hanya akan melakukan pertemuan di luar daerah atau negeri bagi mengelak daripada dikenali rakan isteri atau sahabat sendiri.
“Lelaki itu beri alasan untuk pergi kursus luar daerah, mereka pilih untuk menginap jauh dari tempat tinggal mereka bagi mengelakkan dikesan isteri serta rakan-rakan.
“Untuk kesalahan ini, pasangan tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut sumber itu lagi, hasil pemeriksaan juga mendapati pasangan itu tiada sebarang ikatan perkahwinan.-KOSMO! ONLINE