JASIN – Pemandu bas ekspres yang tular videonya meriba seorang wanita ketika kenderaan itu sedang bergerak dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin Sentral, Johor Bahru disahkan telah berkahwin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, hasil siasatan awal mendapati, lelaki berusia 36 tahun terbabit merupakan suami orang dan wanita dalam rakaman itu bagaimanapun dipercayai kenalannya.
Katanya, kedua-dua individu berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Pemandu bas ekspress tersebut sudah berkahwin, manakala kita belum mendapat apa-apa maklumat mengenai kenalan wanitanya.
“Kita telah minta kerjasama pasangan itu untuk tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 12 April kira-kira pukul 7.30 malam di kawasan susur masuk Rehat dan Rawat (RnR) Bemban (arah selatan) sebelum dikesan tular pada keesokkannya.
“Polis kesan video terbabit pada pukul 5.30 petang 13 April dan mendapati perbuatan meriba itu sangat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan, menganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
“Kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Katanya lagi, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.
Semalam Kosmo! melaporkan, tular satu rakaman video memaparkan seorang pemandu bas ekspres didakwa memandu dalam keadaan berbahaya apabila meriba seorang wanita ketika kenderaan itu sedang bergerak dari TBS menuju ke Larkin Sentral.
Rakaman video berdurasi sembilan saat itu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila tindakan pemandu berkenaan dilihat bukan sahaja tidak profesional, malah berisiko tinggi terhadap keselamatan penumpang.
Menurut maklumat yang dikongsikan di media sosial, kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika bas berada di lebuh raya antara kawasan R&R Seremban sehingga ke R&R Kulai.
Dalam video tersebut, kelihatan seorang wanita duduk di atas riba pemandu ketika bas sedang bergerak laju, sekali gus menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan serta disiplin pemandu terbabit.
Susulan kejadian itu, syarikat bas terlibat, Sri Maju Group turut mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan menyatakan tindakan pemecatan serta-merta telah diambil ke atas lelaki berkenaan. – KOSMO! ONLINE














