fbpx
Steven Sim (dua kiri) merasmikan Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan 2025 di MITEC. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

RM6.17 bilion levi dikumpul HRD Corp, 94 peratus sudah diguna – Steven Sim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM6.17 bilion levi berjaya dikutip oleh Pertubuhan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) sejak tahun 2023 hingga Ogos tahun ini bagi tujuan melatih pekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM5.77 bilion atau hampir 94 peratus telah dibelanjakan bagi melatih kira-kira empat juta pekerja dalam tempoh empat tahun lalu.

“Orang ramai selalu kata kerajaan hanya umum berapa banyak levi dikutip, tapi tak beritahu berapa dibelanjakan.

“Hakikatnya, kita juga telus dalam melaporkan perbelanjaan yang digunakan,” katanya ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 di sini hari ini.

Jelasnya, daripada keseluruhan jumlah berkenaan, RM25 juta diperuntukkan khusus untuk latihan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maklumat (IT) melibatkan lebih 20,000 pekerja.

Menurut Steven Sim, walaupun angka itu besar, ia masih belum mencukupi bagi menghadapi perubahan pasaran kerja masa depan yang kini semakin dipacu oleh teknologi dan AI.

Sehubungan itu, HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan terus mempergiat usaha menyediakan lebih banyak kursus dan program latihan, termasuk kursus percuma bagi membantu rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan pasaran kerja baharu.

“Tumpuan kami ialah memaksimumkan potensi rakyat Malaysia dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran masa depan yang kritikal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, hasil program NHCCE tahun ini menyaksikan kutipan pendapatan HRD Corp berganda berbanding tahun lalu, dengan lebihan RM1 juta berbanding RM500,000 pada 2024.

“Keseluruhan lebihan ini akan disalurkan untuk melatih golongan pekerja gig, selaras dengan mandat HRD Corp,” katanya.

Steven Sim berkata, Malaysia baru sahaja meluluskan undang-undang baharu dua bulan lalu bagi memberikan perlindungan buruh kepada jutaan pekerja gig di negara ini.

“Malaysia menyasarkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030. Namun ironinya, hampir 47 peratus penunggang p-hailing yang menjadikan kerja gig sebagai sumber pendapatan utama mempunyai kelulusan Sijil Peperiksaan Malaysia atau diploma,” ujarnya.

Menurut beliau, kumpulan itu berpotensi besar untuk mengisi kekosongan pekerjaan berkemahiran tinggi, namun potensi tersebut masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kerja gig memang memberi pendapatan segera, tetapi pendidikan dan kemahiran mereka tidak digunakan secara optimum.

“Ini bukan sahaja merugikan individu, malah turut menjejaskan aspirasi negara ke arah ekonomi bernilai tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI