MELAKA – Seramai 758 pesakit mental dikenal pasti di negeri ini sejak 2021 hingga Jun lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 158 pesakit tidak lagi menerima rawatan di Hospital Melaka, tetapi masih meneruskan rawatan di beberapa klinik kesihatan.
“Sebanyak 48 peratus daripada pesakit menghidap depresi atau kemurungan, diikuti keresahan melampau (24 peratus) dan skizofrenia (18 peratus),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai di sini, hari ini.
Tambahnya, meskipun masalah mental di negeri ini masih terkawal, kerajaan terus memperkukuhkan khidmat saringan kesihatan di semua klinik.
Jelasnya, ia termasuklah pemeriksaan awal, kaunseling asas serta intervensi psikososial ringan yang dikendalikan pegawai psikologi atau kaunselor. – KOSMO! ONLINE