JITRA – Beberapa kampung dan kawasan perumahan di daerah Kubang Pasu dan Pokok Sena dilanda banjir susulan hujan lebat sejak pukul 6 petang tadi.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas di daerah Kubang Pasu setakat ini adalah Tanah Merah, Taman Mahsuri, Pantai Halban dan Kampung Malau.
Sementara di daerah Pokok Sena, kawasan terjejas antaranya Kampung Tuba dan Kampung Machang Kudong.
Sebahagian kawasan di negeri ini masih dilanda hujan lebat sehingga pukul 8 malam ini.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Kanan I Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra melakukan operasi pemindahan seorang penduduk yang lumpuh di Kampung Malau ke tempat selamat.
“Pasukan bomba di Zon 1 JBPM Kedah melibatkan daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap kini dalam keadaan bersiap sedia,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan 12 negeri sehingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dilanda cuaca buruk.
“Di Kelantan kawasan yang diramal hujan lebat adalah Machang, Pasir Puteh dan Gua Musang. Selain itu, seluruh negeri Terengganu dan Pahang turut diramal cuaca yang sama.
“Di Selangor, hanya daerah Sabak Bernam sahaja diramal hujan, selain seluruh negeri Johor turut diramal cuaca yang sama,” ujarnya.
Bagi negeri Sarawak, hujan diramal di Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei (Pakan, Sarikei dan Julau), Sibu (Kanowit), Mukah (Tanjung Manis), Kapit (Song), Bintulu (Bintulu dan Sebauh), Miri (Subis, Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
Di Sabah, ribut petir turut dijangka di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat. – KOSMO! ONLINE