fbpx
MARQUEZ mengesahkan gelaran dunia ketujuhnya selepas meraih tempat kedua Grand Prix Jepun di Motegi kelmarin. - AFP

Kejayaan Marquez inspirasi pelumba MotoGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MOTEGI – Penantian penuh debaran selama 2,184 hari akhirnya terlerai apabila Marc Marquez berjaya menoktahkan kebangkitan luar biasa dengan merangkul gelaran dunia MotoGP buat kali ketujuh.

Kejayaan di Litar Motegi, Jepun kelmarin melengkapkan koleksi kejuaraan dunia kesembilan secara keseluruhan dan merampas semula gelaran berprestij dunia itu selepas memenanginya buat kali terakhir pada 2019 dalam kelas perdana bersama Honda.

Pencapaian sensasi Marquez bersama Ducati disifatkan sebagai satu detik bersejarah, memandangkan pelumba sensasi Sepanyol itu terpaksa mengharungi tempoh paling sukar dalam kariernya.

Marquez telah menjalani lima pembedahan besar pada lengan dan bahu kanannya dan turut terlepas 30 perlumbaan, malah terlibat dalam 108 kemalangan serta beraksi untuk tiga pasukan berbeza dengan dua pengeluar jentera berlainan.

Kangkitan luar biasa Marquez itu mendapat penghormatan tertinggi para pencabarnya di MotoGP seperti bekas juara dunia 2021 dari Perancis, Fabio Quartararo yang mengakui turut terinspirasi dengan kejayaan tersebut.

“Melihat video kemenangannya sahaja sudah cukup membuatkan saya emosi. Selepas melalui pelbagai kecederaan selama bertahun-tahun, dia membuat beberapa keputusan yang sangat berani. Dia seorang legenda dan sangat layak menerimanya,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi oleh bintang sensasi KTM, Pedro Acosta yang menyifatkan pencapaian Marquez sebagai kebangkitan terhebat dalam sejarah sukan permotoran.

Pelumba Red Bull KTM, Brad Binder menganggap Marquez sebagai pelumba paling menyerlah musim ini dan kejayaannya adalah ganjaran setimpal selepas mengharungi perjalanan karier yang amat berliku.

“Dia melalui cabaran getir selama lebih empat tahun. Melihatnya kembali di puncak adalah sesuatu yang hebat. Dia layak menerima gelaran ini,” ujarnya.

Legasi Marquez semakin kukuh dengan rekod demi rekod dipecahkan musim ini dan menyamai tujuh gelaran MotoGP milik Valentino Rossi, hanya satu di belakang Giacomo Agostini (lapan). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN