JAKARTA – Pengunjung sebuah acara di Tuban, wilayah Jawa Timur terkejut apabila menemui seekor ular sawa gergasi sepanjang 4 meter melingkar di atas kabel elektrik, lapor portal berita Portal Turban.
Penemuan mengejutkan itu berlaku semasa acara Haul Sunan Bonang, baru-baru ini.
Rakaman video kejadian menunjukkan reptilia itu berlingkar di atas kabel elektrik ketika pengunjung berjalan di bawahnya.
Kemunculannya menyebabkan beribu-ribu pengunjung dan peniaga menjauhkan diri kerana bimbang ular itu jatuh menimpa mereka.
Jabatan Bomba Kabupaten Tuban dan pasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap dan memindahkan ular sawa tersebut.
“Ular sawa gergasi berjaya ditangkap dalam masa kurang 10 minit. Ular ini dibawa ke lokasi yang sesuai agar tidak mencetuskan bahaya dan mengganggu orang ramai,” kata polis.
Orang ramai diminta tidak bertindak sesuka hati apabila menemukan ular yang besar dan segera menghubungi pihak berkuasa. – AGENSI














