JOHOR BAHRU – Ahli keluarga mendiang K. Datchinamurthy, 39, kesal kerana tidak dapat meluangkan lebih banyak masa dengan mendiang kerana telah menghabiskan tempoh masa selama lebih 14 tahun di penjara Singapura sebelum hukuman mati dijalankan.
Abang iparnya, P. Prataban, 37, memberitahu, mereka juga terkilan kerana penantian yang panjang berakhir dengan keputusan yang amat mendukacitakan buat seluruh ahli keluarga.
“Datchinamurthy merupakan anak lelaki tunggal daripada empat beradik. Kami sangat merinduinya dan berharap dapat meluangkan lebih banyak masa bersama,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Katolik Ulu Tiram, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang rakan kepada mendiang yang hanya mahu dikenali sebagai Siva, 44, memberitahu, mendiang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya sebelum hukuman dijatuhkan kerajaan republik tersebut.
Pada 2015, Datchinamurthy disabitkan bersalah atas kesalahan mengedar sebanyak 44.96 gram heroin ke Singapura dan dijatuhkan hukuman mati.
Pelaksanaan hukuman mati yang dijadual pada 29 April 2022 kemudian ditangguh bagi membolehkan prosiding semakan kehakiman dibuat.
Datchinamurthy bagaimanapun dihukum gantung sampai mati di Penjara Changi, Singapura, kelmarin. – KOSMO! ONLINE