MANCHESTER – Manchester City berpeluang untuk memintas kedudukan Arsenal selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi perbezaan gol seandainya mencatat kemenangan ke atas Burnley di Turf Moor awal pagi esok.
Pada ketika ini, The Citizens dibezakan tiga mata dengan Arsenal menerajui takhta liga dengan 70 mata, namun City memiliki kelebihan memandangkan mereka beraksi kurang satu perlawanan.
Penyerang City, Erling Haaland menggesa rakan sepasukan supaya mengekalkan momentum sedia selain menganggap aksi menentang Burnley sebagai perlawanan akhir dalam misi mereka memintas kedudukan Arsenal.
“Rabu ini (awal pagi esok) kami akan beraksi dalam perlawanan ‘akhir’ menentang Burnley. Bagi saya, perlawanan itu sangat penting dan kami perlu mengekalkan fokus selain tidak terlalu mendabik dada,” katanya.
Dengan perlawanan berbaki lima perlawanan sahaja lagi buat Burnley, fokus The Clarets bukan lagi kepada Liga Perdana kerana mereka sudah hampir pasti tersingkir apabila dibezakan 13 mata dengan zon selamat.
Sementara itu, pemain tengah City, Bernardo Silva mengakui tidak menyangka mereka mampu untuk menekan Arsenal dalam perebutan takhta liga, lebih-lebih lagi mereka dalam situasi cukup sukar sebelum ini.
“Jika kita bercakap dua minggu lalu, situasi seperti ini sukar untuk berlaku kerana kami berada dalam situasi sukar. Sekiranya kami menang satu lagi perlawanan, kami akan berkongsi mata dengan Arsenal,” ujarnya. – AGENSI














