PETALING JAYA – Peningkatan bilangan pesakit yang menerima rawatan termasuk gejala demam, batuk, sakit tekak dan selesema di klinik-klinik dan pusat perubatan meningkat hampir sekali ganda selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Keadaan itu disebabkan jangkitan virus serta bakteria ketika aktiviti ziarah dan penganjuran rumah terbuka sebelum merebak apabila warga kota pulang semula ke bandar dan anak-anak kembali ke sekolah selain faktor cuaca panas berpanjangan.
Di Ipoh, pengamal perubatan am swasta, Dr. Muhd. Sheith Muhaimin Abd. Haris berkata, sebelum Aidilfitri, klinik Wellcure Clinik 24 Jam di Seri Manjung menerima kunjungan 40 hingga 50 orang sehari bagi mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, beliau yang juga doktor residen di klinik itu berkata, jumlah tersebut meningkat sekali ganda, dengan purata 70 hingga 90 pesakit sehari ketika ini.
“Antara simptom yang paling kerap dialami adalah Upper Respiratory Tract Infection (URTI) seperti batuk dan selesema. Ada juga kes keracunan makanan dan gastrik,” katanya kepada Kosmo! .
Beliau berkata, antara punca peningkatan kes itu adalah disebabkan pergaulan sewaktu aktiviti ziarah Aidilfitri dengan virus dan bakteria URTI mudah merebak terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.
“Keracunan makanan dan sakit perut juga banyak berlaku selepas pesakit pulang dari jamuan raya atau rumah terbuka. Antara punca adalah disebabkan pengendalian makanan, misalnya membiarkan makanan terdedah lama,” katanya.
Sementara itu, di Kuala Nerus, pengasas bersama Klinik Medina, Dr. Tium Wei Nie berkata, sejak 1 Syawal lalu, rangkaian kliniknya di daerah ini dan Kuala Terengganu menerima secara purata sebanyak 151 pesakit sehari.
“Ia menunjukkan peningkatan berbanding 120 pesakit sehari pada Ramadan lalu. Kebanyakan mereka mengalami simptom keracunan makanan seperti cirit-birit dan muntah selain batuk dan demam serta dehidrasi,” katanya.
Wei Nie berkata, selain faktor pemakanan, jangkitan virus dan cuaca panas juga dikenal pasti menjadi punca peningkatan kes keracunan makanan, demam, batuk dan selesema pada musim raya baru-baru ini.
Katanya, rangkaian Klinik Medina juga menerima peningkatan pesakit asma yang memerlukan rawatan nebuliser selain individu mengalami dehidrasi akibat kurang meminum air.
“Keracunan makanan biasanya berkait rapat dengan cara penyediaan dan penyimpanan makanan yang tidak sempurna sewaktu rumah terbuka. Kes Influenza B juga mudah merebak ketika ini lebih-lebih lagi apabila orang ramai berkumpul di rumah terbuka atau majlis keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, Wei Nie menasihatkan orang ramai agar lebih peka terhadap aspek kebersihan makanan serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan penyakit.
Dalam pada itu, di George Town, seorang doktor yang enggan dikenali berkata, terdapat peningkatan jumlah pesakit selepas hari raya namun kebanyakannya lebih memilih mendapatkan rawatan di klinik-klinik kerajaan berbanding pusat perubatan swasta disebabkan masalah kewangan.
Malah dakwanya, ada antara mereka yang memilih untuk membeli ubat di farmasi bagi mengelak caj konsultasi yang dikenakan di klinik swasta.
“Ada rakan doktor turut memaklumkan perkara sama berhubung kehadiran pesakit di farmasi yang dilihat bertali arus setiap hari. Di klinik saya, kebanyakan yang datang ialah pelanggan tetap yang merupakan pesakit kronik, penghidap darah tinggi yang memerlukan rawatan susulan,” katanya.
Beliau tidak menafikan ramai daripada pesakit kronik mengalami tekanan darah tinggi dipercayai berpunca daripada pemakanan dan kurang rehat.
“Menikmati juadah seperti ketupat bersama tanpa had dipercayai menjadi penyebab utama ‘diserang’ tekanan darah tinggi,” ujarnya














