fbpx
AEDY FADLY (kiri) dan Azman (dua kiri) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu Singapura pada Operasi Bersepadu JPJ Bersama KPDN di susur keluar CIQ BSI, Johor Bahru, malam tadi. Foto RAJA JAAFAR ALI

JPJ saman kenderaan Singapura RM2.19 juta, tak guna VEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Sebanyak 5,984 saman bernilai RM2.19 juta dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kenderaan asing khususnya Singapura menerusi operasi Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura sejak 1 Julai 2025 sehingga Khamis lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 82,987 kenderaan Singapura diperiksa dalam tempoh itu di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta Taman Daya, di sini.

“Tindakan mengeluarkan notis saman kepada pemilik atau pemandu kenderaan persendirian individu dan persendirian syarikat yang tidak mendaftar VEP atau VEP tamat tempoh serta kenderaan masih berstatus pradaftar.

“Bagi kenderaan berkenaan, tindakan saman akan dibuat dan wajib membayar saman serta perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia, ia selaras Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi Penguatkuasaan VEP bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di susur keluar CIQ BSI, di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam.

Menurut Aedy Fadly, sebanyak 391,007 tag RFID telah dikeluarkan sejak Khamis lalu, dengan status pemasangan tag yang aktif melibatkan 322,048 kenderaan persendirian individu manakala 14,771 kenderaan belum aktif.

Bagi kendetaan persendirian syarikat pula, katanya, sebanyak 47,496 tag RFID aktif manakala 7,792 tag lagi tidak aktif.

Tambahnya, pelaksanaan VEP ini diperkasa secara menyeluruh bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan kenderaan berpendaftaran asing di samping mengekang ketirisan subsidi bahan api negara khususnya petrol RON95.

“Kerjasama strategik ini juga turut melibatkan integrasi sistem VEP dan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang membolehkan pengesanan secara masa nyata terhadap kenderaan asing.

“Melalui integrasi ini, data kenderaan termasuk profil pemilik dan rekod perjalanan dapat dikongsi secara bersepadu antara agensi sekali gus meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan keupayaan mengesan penyalahgunaan subsidi,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN