JOHOR BAHRU – Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai bernilai RM225,600 berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dalam serbuan di sebuah jeti berhampiran Sungai Sanglang, Jalan Tebing Kiri, Ayer Baloi, Pontian awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam operasi kira-kira pukul 4 pagi itu, tiga individu berusia 19 hingga 69 tahun ditahan.
Beliau berkata, sepasukan pegawai polis daripada Unit Risik Marin bersama Bot Ronda RH71 melakukan intipan serta pemantauan sebelum menyerbu lokasi berkenaan.
“Hasil serbuan, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan serta menemui sejumlah bungkusan berwarna hitam berisi rokok tidak bercukai kastam yang diletakkan di tepi jeti.
“Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah kereta turut menemui beberapa bungkusan rokok tidak berkastam di bahagian tempat duduk penumpang hadapan, belakang dan di dalam but kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Ab Rahaman berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 840 karton rokok keretek dan 100 karton rokok putih selain menyita sebuah bot fiber dan sebuah enjin sangkut jenis Yamaha 85hp.-KOSMO! ONLINE