KEMAMAN – Seorang lelaki berusia 59 tahun kerugian RM872,290 termasuk simpanan Tabung Haji miliknya selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Tenaga pengajar kemahiran instrumentasi sambilan yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan berhubung kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini pada semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, pada mulanya, lelaki itu telah melihat iklan skim pelaburan tersebut di laman Facebook pada 26 April lalu.
“Mangsa yang tertarik telah menghubungi wakil skim pelaburan terbabit menerusi aplikasi WhatsApp.
“Dia kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp sebelum diarahkan memuat turun satu aplikasi bagi memulakan pelaburan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, tenaga pengajar tersebut kemudiannya membuat pelaburan berjumlah keseluruhan RM872,290.
Beliau berkata, modal pelaburan berkenaan bukan sahaja menggunakan wang simpanan, Tabung Haji malah hasil gadaian barangan kemas keluarga.
“Transaksi pelaburan sebanyak 21 kali itu dilakukan antara 4 Jun hingga 8 Ogos lalu ke dalam 11 akaun bank berasingan yang diberi suspek. Begitupun mangsa hanya memperolehi pulangan RM1,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE