fbpx
Nur Atiqah (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Syakir Radin/KOSMO!

Bekas juruwang didakwa salah guna pin Touch ‘n Go eWallet lebih RM500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang bekas juruwang pasar raya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan mesin terminal pin Touch ‘n Go eWallet berjumlah lebih RM500,000.

Bagaimanapun tertuduh, Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 28, mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan yang dihadapinya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut dua pertuduhan pecah amanah, tertuduh yang diamanahkan dengan mesin terminal pin milik pasar raya di Kepong itu menyalahgunakan mesin tersebut dengan mengeluarkan nilai pin Touch ‘n Go eWallet berjumlah RM98,800 untuk ditebus nilai ke akaun Touch ‘n Go eWallet miliknya pada 7 Januari 2023 hingga 9 Julai 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 14 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga didakwa atas 12 tuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM469,400 ke Touch ‘n Go eWallet keluarga dan rakan-rakannya dengan cara menebus nilai pin Touch ‘n G, yang mana tertuduh menjadikan terminal pin Touch ‘n Go yang diamanahkan kepadanya oleh pasar raya terbabit untuk mengeluarkan pin Touch ‘n Go eWallet pada Januari 2023 hingga Ogos 2024.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Akta Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan, wanita itu boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi kesemua pertuduhan. Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan perlu melapor diri kepada pihak berkuasa sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN