PETALING JAYA – Gangguan seksual di tempat kerja tidak akan berakhir selagi mana berlaku penyalahgunaan kuasa serta jawatan yang menyebabkan wanita tertekan atau bimbang untuk melaporkan kejadian tersebut.
Peguambela dan Peguamcara Liyana & Co, ‘Ainnur Liyana Ya’akub berkata, ramai mangsa trauma dan takut kepada pemangsa yang selalunya merupakan seorang individu dominan dalam hidup mereka seperti majikan, rakan sekerja, ahli keluarga lelaki, atau individu tidak dikenali.
Katanya, gangguan seksual semakin menjadi-jadi apabila pihaknya menerima kira-kira 50 aduan sebulan yang kebanyakannya melibatkan individu berjawatan atau berpangkat lebih tinggi.
“Gangguan seksual boleh berlaku kepada semua lapisan masyarakat dan tidak melibatkan individu berjawatan sahaja.
“Ia bukan setakat dikategorikan sebagai jenayah yang boleh dihukum di bawah kanun keseksaan, bahkan ia juga adalah satu tindakan di bawah mahkamah sivil,” katanya.
Menurut ‘Ainnur Liyana, tidak ramai mangsa yang berani hendak membawa tindakan ke mahkamah sivil dan jika ada pun hanya ke mahkamah industri untuk kategori hak pekerja diganggu.
Tambahnya, mangsa terlibat perlu berani bertindak dan tampil membuat aduan segera bersama bukti-bukti yang dimiliki.
“Kebanyakan mangsa bertanya kepada saya apa tindakan seterusnya yang mereka patut buat, bolehkah mereka membuat laporan polis dan bagaimana,” kongsinya.
Ujar ‘Ainnur Liyana, mangsa boleh merujuk Tribunal Anti Gangguan Seksual selain membuat laporan polis, rawatan psikiatri, menghantar surat aduan rasmi kepada sumber manusia atau nasihat guaman jika tidak pasti tentang bahan bukti.
“Antara bukti diperlukan adalah laporan polis, laporan perubatan, perbualan Whatsapp, audio atau rakaman video dan saksi,” jelasnya.
Katanya, pendirian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk meminda Akta Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) adalah wajar.
Cadangan pindaan itu mencerminkan komitmen kerajaan memperkasakan undang-undang sedia ada agar lebih berkesan dalam menangani isu gangguan seksual.
“Antara aspek utama yang perlu diberi perhatian dalam pindaan ini adalah perlindungan terhadap mangsa yang mungkin takut akan pembalasan atau kehilangan pekerjaan.
“Akta yang dipinda perlu memperkukuhkan tanggungjawab majikan dalam memastikan persekitaran kerja bebas gangguan seksual serta menyediakan saluran selamat tanpa ada implikasi kepada mangsa,” jelasnya.














