fbpx
MESKIPUN sudah berusia, Cheng Yit tetap terus bertahan mencari pendapatan dengan menjual buah naga di Jalan Tanah Merah Site A, Port Dickson. – NUR SHARIEZA ISMAIL

‘Dulu pelanggan belanja RM60 beli buah, kini hanya RM10’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Hanya bergantung kepada hasil jualan buah naga untuk menyara keluarga, seorang peniaga warga emas me­ngakui kehidupannya semakin terhimpit apabila jualan semakin perlahan, manakala kuasa beli pelanggan terus merosot.

Yew Cheng Yit, 61, berkata, dia dan suami sudah berniaga kira-kira empat tahun di Jalan Tanah Merah Site A di sini, namun pendapatan yang diperoleh hanya sederhana dan tidak menentu.

Katanya, perniagaan biasa­nya lebih rancak pada Sabtu dan Ahad, manakala pendapatan tertinggi yang pernah diperoleh sekitar RM400 sehari, lazimnya pada Jumaat atau Sabtu.

“Kalau hari biasa, pendapatan lebih kurang RM100, tetapi bukan setiap hari ada jualan,” katanya ketika ditemui di gerainya kelmarin.

Menurut Cheng Yit, keadaan ekonomi menyebabkan pelanggan kini lebih berjimat apabila berbelanja.

“Dulu pelanggan boleh habiskan RM50 hingga RM60 untuk beli buah, tetapi sekarang kebanyakannya hanya beli sekitar RM10. Memang nampak kuasa beli semakin rendah,” katanya.

Ujarnya, dia mempunyai empat anak termasuk seorang anak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia lingkungan 20-an yang masih memerlukan perhatian keluarga.

“Saya dan suami bergilir-gilir menguruskan kebun dan berniaga dengan pendapatan bergantung kepada hasil pengeluaran buah naga.

“Kadang-kadang pendapatan kami hanya sekitar RM60 sehari. Akibatnya, payung untuk berniaga pun sudah koyak tetapi belum ada kemampuan untuk membeli yang baharu,” katanya.

Menurutnya, sebagai warga emas yang turut berdepan masalah kesihatan, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain terus berniaga demi kelangsu­ngan hidup.

“Saya berharap kerajaan dan pemimpin dapat membantu peniaga kecil seperti kami kerana inilah satu-satunya sumber pendapatan kami,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN