fbpx
Keadaan Muhamad Firdaus selepas diserang dan digigit anjing di kawasan perumahannya di Taman Megah, Batu 9, Cheras, Kajang.

‘Adik trauma, selalu mengigau sebut anjing..anjing’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Kanak-kanak enam tahun yang diserang dan digigit anjing di Taman Megah, Batu 9, Cheras, di sini kelmarin mengalami trauma apabila kerap termimpikan kejadian malang tersebut.

Surya Arifin Mohd. Nasir, 21, berkata adiknya, Muhamad Firdaus Hakim yang kini dirawat di Hospital Putrajaya sering mengigau ketika sedang tidur.

“Adik akan sebut ‘anjing..anjing’ sambil memegang kepalanya yang cedera. Selain itu, walaupun adik telah mula bercakap namun dia lebih banyak diamkan diri.

“Bercakap sedikit, diam, bercakap sedikit dan diam semula. Mungkin dalam keadaan mamai lagi kerana ubat bius masih ada dalam badan selepas menjalani pembedahan semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Surya berkata doktor memaklumkan adiknya perlu menjalani jahitan berkala do bahagian kepala disebabkan luka dan terkoyak besar di beberapa tempat.

“Setakat ini doktor maklumkan luka adik banyak dan besar, jadi mana yang boleh jahit dia (doktor) akan jahit serta cuci.

“Yang terkoyak besar di belakang kepala doktor maklum dia akan jahit tisu di bahagian dalam. Lepas beberapa hari kemungkinan adik akan masuk dewan bedah semula,” katanya.

Menurut Surya lagi, cebisan telinga adiknya yang terputus akibat gigitan anjing juga berjaya dicantumkan semula dalam satu operasi pembedahan yang berjalan semalam.

Anak sulung itu juga berkata doktor ada memaklumkan kepada seluruh keluarga tentang risiko adiknya dijangkiti kuman dan bernanah ekoran luka koyakan yang besar di beberapa tempat.

“Adik juga akan menjalani pemeriksaan darah bagi mengetahui jika ada jangkitan lain kesan daripada gigitan air liur anjing tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikejarkan ke hospital setelah diserang dan digigit anjing ketika bermain selepas pulang dari taska kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan dari abang mangsa pada pukul 11.41 malam.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam kenyataan semalam berkata pihaknya telah menghantar kakitangan untuk menjalankan siasatan ke premis pemilik anjing yang menyerang kanak-kanak tersebut.

Menurutnya anjing yang mencederakan kanak-kanak itu juga telah ditangkap oleh sepasukan Unit Tangkapan Anjing Terbiar MPKj kelmarin.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN