fbpx
JDT memiliki barisan pemain bertaraf bintang dan tiada masalah untuk terus dominasi saingan Liga M musim ini. - Foto Johor Southern Tigers

Cabaran sebenar JDT di peringkat Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMERIAHAN saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin dirasai selepas hampir sebulan berlangsung dengan jumlah kehadiran penyokong dilihat menunjukkan perkembangan positif.

Selepas mendominasi saingan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, tumpuan sudah pasti terarah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sama ada mampu untuk mengekalkan kejuaraan berprestij pada kempen kali ini.

Bukan sahaja trofi Liga Super, JDT turut memiliki cabaran hebat untuk mendominasi gelaran ‘trebel’ apabila menjuarai Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super sejak musim 2022.

Namun, ramai beranggapan jurang kekuatan JDT yang dikendalikan Xisco Munoz semakin mengecil walaupun berjaya melakar empat kemenangan berturut-turut tetapi di atas kertas, sebaliknya yang berlaku.

Seperti mendengar keluhan peminat, Harimau Selatan mengesahkan kehadiran dua lagi pemain import berprofil tinggi dari Sepanyol, Ager Aketxe dan Raul Rarra sebelum jendela perpindahan Liga M ditutup pada 31 Ogos lalu.

Situasi ini membuktikan bahawa JDT tidak pernah selesa dengan prestasi semasa, sebaliknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti.

Berdasarkan laman transfermarkt.com, JDT memiliki 18 pemain import musim ini dan dianggap cukup lengkap untuk terus mendominasi saingan Liga M.

Cabaran sebenar JDT kali ini untuk memberikan saingan di peringkat antarabangsa kerana Harimau Selatan bakal bertanding dalam Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Pemerhati bola sepak tanah air, Sulaiman Hussin menyifatkan kelab gergasi Liga M itu tidak mempunyai masalah untuk terus mengukuhkan reputasi di peringkat domestik pada saingan musim 2025/2026.

Katanya, tidak keterlaluan dikatakan kejohanan ACC juga sukar untuk menguji kekuatan sebenar JDT memandangkan bukan semua kelab di rantau Asia Tenggara memiliki skuad yang hebat seperti mereka.

“Bagi saya, saingan Liga M musim ini memang hampir pasti menjadi milik JDT jika mereka dapat kekalkan rentak konsisten. Cuma fokus utama untuk mengharungi saingan ACC dan ACLE.

“Bagi kempen ACC, saya rasa mereka ada peluang cerah untuk bergelar juara. Cabaran sebenar di peringkat Asia kerana kalau boleh musim ini pasti mereka mahu perbaiki pencapaian musim lalu.

“Ujian JDT adalah pasukan Korea Selatan, Jepun dan rantau Asia Barat kerana mereka memiliki pemain yang jauh lebih baik. Jadi, kita tunggu dan lihat bagaimana percaturan jurulatih yang memiliki ramai pemain membuat penggiliran pemain.

“Mereka perlu kekal realistik, tetapi saya rasa tidak mustahil JDT mampu melakar kejutan,” katanya.

Selain barisan import berkualiti, JDT juga tempat pemain warisan baharu skuad kebangsaan ‘berkampung’ seperti Nacho Mendez, Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo.

Malah, Harimau Selatan turut memiliki ramai pemain yang sebelum ini menjadi pilihan wajib dalam skuad Harimau Malaya seperti Arif Aiman Hanapi, Ahmad Syihan Hazmi, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Afiq Fazail dan Romel Morales.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN