PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di hadapan pintu bilik air sebuah kedai serbaneka di Jalan 21/17, Sea Park, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui panggilan telefon daripada seorang wanita tempatan kira-kira pukul 5.35 petang, Selasa lalu.
“Sepasukan polis bersama pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh segera bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di hadapan bilik air di premis berkenaan.
“Pasukan perubatan kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, hasil siasatan awal terhadap rakan sekerja dan pengurus mendapati mangsa merupakan pekerja di premis tersebut.
“Pemeriksaan di lokasi serta pada badan mangsa tidak menemui sebarang kesan unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan kertas siasatan telah dibuka.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Neclos Ak Sarit di talian 013-9267158, Balai Polis Sea Park (03-78742222) atau Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya (03-79662222). – KOSMO! ONLINE