JAKARTA – Seorang wanita di Brebes, wilayah Jawa Tengah meninggal dunia selepas dipatuk seekor ular berbisa yang masuk ke dalam rumahnya ketika mangsa cuba menunaikan solat Isyak, lapor portal berita Detik.
Kejadian berlaku sekitar pukul 7.30 malam (waktu tempatan) di Desa Cinanas, 17 Ogos lalu.
Mangsa yang dikenali sebagai Sumayati, 57, cuba menghalau reptilia itu dengan batang penyapu tetapi gagal apabila ular itu bersembunyi di bawah almari.
Ketika Sumayati mencari ular tersebut di bawah almari, kakinya dipatuk.
Mangsa mula berasa lemah dan pening beberapa jam selepas kejadian, menyebabkan dia memanggil seorang pengamal perubatan untuk mengeluarkan bisa daripada kakinya.
Dia kemudian dibawa ke Hospital Brebes sebelum disahkan meninggal dunia pukul 10.30 (waktu tempatan). – AGENSI














