SEBERANG PERAI – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kegentaran dan kegusaran awam, 11 Ogos lalu.
Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu didakwa memuatnaik hantaran yang menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam, kira-kira 3 petang, 11 Ogos lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikemukakan barisan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Nordin Ismail manakala Akmal diwakili barisan peguam diketuai Aizat Azam.
Pihak pendakwaan kemudiannya mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jaminan RM2,000 atas alasan jaminan bukanlah satu bentuk hukuman sebaliknya untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah.
“Beliau juga adalah seorang doktor perubatan yang memiliki seorang isteri dan dua anak yang masih bersekolah selain perlu membahagikan masa melaksanakan tugas sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Selain itu, beliau yang turut memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia perlu menjalankan tugas rasmi dan membantu kepimpinan tertinggi,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Akmal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 September depan untuk serahan dokumen.
Terdahulu, beliau tiba di Mahkamah Majistret di sini pada 8.20 pagi diiringi isteri, Datin Dr. Fatin Nadhirah Idrus dan beberapa ahli keluarga lain.
Ratusan penyokong setia menunggu di luar pekarangan mahkamah yang turut mengiringi beliau ke sambil berselawat dan melaungkan ‘Hidup Pemuda’ selain memegang kain rentang Solidariti Buat Dr. Akmal.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan terhadap Akmal bersama tiga individu lain berhubung kenyataan yang didapati menggugat ketenteraman awam di media sosial. -KOSMO! ONLINE