DUBAI – Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menarik diri daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) selepas 60 tahun menjadi ahli, menjadikannya satu tamparan hebat kepada kumpulan itu dan pemimpin de factonya, Arab Saudi, ketika pasaran tenaga global berdepan krisis bekalan terbesar dalam sejarah, lapor akhbar The Guardian semalam.
Pengumuman mengejut UAE yang merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar OPEC itu dijangka melemahkan kumpulan tersebut. Ia selama beberapa dekad telah bekerjasama untuk menggunakan pengeluaran minyak kolektifnya bagi mempengaruhi harga pasaran minyak global.
Pengunduran UAE dari OPEC juga menandakan kemenangan bagi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang sebelum ini menuduh organisasi itu ‘merompak seluruh dunia’ apabila dengan sengaja menaikkan harga minyak dengan cara menahan pengeluaran.
Minggu lalu, Trump mengesahkan bahawa AS telah membincangkan untuk melanjutkan ‘talian hayat’ kewangan kepada UAE, di mana bank pusat kedua-dua negara boleh bersetuju untuk menukar jumlah mata wang masing-masing yang setara sekiranya krisis Asia Barat semakin buruk.
UAE kelmarin menetapkan rancangan untuk memutuskan hubungannya dengan kartel itu dalam beberapa hari lagi apabila pasaran memasuki minggu kesembilan perang AS-Israel ke atas Iran.
Perang itu telah menyekat satu per lima daripada minyak laut dunia daripada mengalir dari pengeluar Teluk melalui Selat Hormuz. Ia menyebabkan turun naik pasaran minyak pada kadar yang memecah rekod.
Satu kenyataan daripada Kementerian Tenaga UAE berkata, meninggalkan OPEC akan memberinya fleksibiliti yang lebih besar untuk bertindak balas terhadap ‘zaman tenaga baharu’, selaras dengan visi strategik dan ekonomi jangka panjangnya.
UAE menyertai OPEC pada tahun 1967 melalui Emiriyah Abu Dhabi dan kekal dalam organisasi tersebut apabila UAE dibentuk pada tahun 1971.
Lima negara pengasas OPEC pada tahun 1960 adalah Arab Saudi, Iran, Iraq, Kuwait dan Venezuela, yang kemudiannya disertai oleh Algeria, Guinea Khatulistiwa, Gabon, Libya, Nigeria dan Republik Congo.
Anggota OPEC mengawal kira-kira 80 peratus daripada rizab minyak terbukti dunia tetapi hanya menghasilkan 40 peratus minyak mentah global untuk membantu mengekalkan harga pasaran pada tahap yang dapat menyokong ekonomi petrostat. – AGENSI














