SHAH ALAM – Hanya tiga ahli jawatankuasa (AJK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Shah Alam mengesahkan telah keluar parti secara sukarela setakat ini.
Ketua Cabang itu, Mohd. Najwan Halimi berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media berkaitan tindakan beberapa pimpinan yang mengisytiharkan diri keluar daripada PKR.
Jelasnya, siasatan dan semakan daripada senarai nama itu mendapati hanya tiga individu mengesahkan keluar parti.
“Kami percaya tindakan kelompok ini didalangi seorang Ahli Parlimen PKR yang kecewa susulan kekalahan dalam pemilihan parti. Ini bagi merebut jawatan peringkat pusat dan cabang pada tahun lalu,” katanya petang ini.
Tambah beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, PKR Shah Alam kekal utuh dan tidak akan tunduk dengan rencana makar pemimpin yang bersifat gunting dalam lipatan.
Terdahulu, seramai 21 AJK Cabang itu bersama sebahagian besar pimpinan termasuk wanita mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat ekoran hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti dan Najwan termasuk janji reformasi yang dilihat tidak diterjemahkan dalam amalan sebenar. – KOSMO! ONLINE














