JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan kepada mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik Melayu yang baharu.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, penubuhan parti baharu itu haruslah bertujuan menyatupadukan pemikiran orang Melayu dan bukannya berhasrat untuk memecahbelahkan.
“Apapun wadah yang digunakan apabila akhirnya kita dapat menyatukan, tindakan kita atas agenda negara, agenda Islam dan agenda anak bangsa kita, Insha-Allah. Dokongan akan dapat kita berikan, kerana kita juga telah bersama-sama untuk bertemu dalam wacana ataupun perbincangan melalui kolaborasi nasional yang telah kita adakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Zikir di Masjid Sultan Iskandar di Bandar Dato Onn, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa gerakan itu akan bergerak di bawah sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan) dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama pelbagai blok di negara ini.
Menurut beliau, parti itu diwujudkan sebagai wadah penyatuan yang akan bekerjasama dengan Pas dan parti-parti lain yang sehaluan bagi membentuk kesepahaman politik yang lebih komprehensif dan meyakinkan.
Menurut Ahmad Zahid, perbezaan pemikiran diharap dapat diterjemah dalam bentuk agenda nasional, agenda Islam dan agenda anak bangsa dengan tidak mengenepikan mana-mana kaum serta agama lain.
Katanya, UMNO sudah berjaya mewujudkan perpaduan nasional menerusi inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan.-KOSMO! ONLINE














