fbpx
MOHAMED KHALED pada sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Rejimen Ke-4 Artileri Diraja Kem Segamat, Segamat hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

Mohd Zaid cari tempat berteduh baharu dalam Pas – Mohamed Khaled

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGAMAT – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyertai Pas sebagai usaha bekas pemimpin UMNO itu mencari ‘tempat berteduh’ baharu dalam arena politik.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, Mohd Zaid yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Kelantan sudah lama meninggalkan UMNO dan penyertaannya ke dalam Pas bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Zaid Ibrahim dah keluar (UMNO) lama. Dia dah keluar lama. Jadi dia mencari-cari tempat teduh. Good luck (selamat maju jaya),” katanya ringkas kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Rejimen Ke-4 Artileri Diraja Kem Segamat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyertaan Mohd Zaid bersama 13 lagi tokoh politik, profesional dan bekas penjawat awam ke dalam Pas yang diumumkan malam semalam.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kemasukan 14 tokoh berkenaan pada Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Seremban, Negeri Sembilan.

Selain Mohd Zaid, antara nama yang mencuri perhatian ialah bekas Exco Negeri Sembilan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek serta bekas Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman.

Turut menyertai PAS ialah bekas Exco Perak dan bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Othman, bekas Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakup, bekas Pengerusi Kelab UMNO Manchester, Dr. Md. Nizam Baharom serta Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Omar.

Selain itu, Pas turut menerima penyertaan bekas Pegawai Pendidikan dan Setiausaha UMNO Ketereh, Datuk Ahmad Tarmizi Musa, bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mostafa Shah, Datuk Muqorrobin Mokhtaruddin yang pernah memegang jawatan dalam Pemuda UMNO dan Bersatu serta beberapa tokoh lain daripada pelbagai latar belakang profesional.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN