fbpx
Gambar hiasan.

Takut ibu masuk lokap, guru rugi RM160,500 diperdaya ‘scammer’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut ibunya akan didakwa atas pertuduhan terlibat dalam kes pengubahan wang haram, seorang guru kerugian sebanyak RM160,500 selepas diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.

Wanita berusia 34 tahun itu membuat pembiayaan peribadi dengan bank selain meminjam daripada kawan-kawan untuk menyerahkan wang tersebut kepada sindiket kononnya bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku apabila mangsa menerima panggilan daripada individu mendakwa kononnya wakil syarikat insurans.

“Suspek mendakwa bapa mangsa membuat tuntutan insurans perubatan daripada sebuah hospital di Ampang, Selangor berjumlah RM68,000.

“Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada suspek lain yang mendakwa kononnya pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, suspek turut mendakwa kononnya ibu wanita itu terlibat dalam 31 kes pengubahan wang haram.

Wanita itu kemudian diarahkan membuat pembayaran kononnya bagi menyelesaikan kes tersebut sekali gus mengelak ibunya ditahan pihak berkuasa.

“Mangsa akur dengan arahan suspek dan membuat membuat pembayaran keseluruhan RM160,500 menerusi 33 transaksi ke 26 akaun bank yang diberikan oleh suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI