PETALING JAYA – Pemilikan Petronas kekal di bawah Kerajaan Persekutuan, namun pendekatan memperkukuh penyertaan negeri-negeri melalui platform kerjasama strategik, pelaksanaan projek bersama dan penglibatan dalam rantaian nilai sejajar dengan struktur Persekutuan yang inklusif dan memastikan kesinambungan manfaat semua pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, walaupun pemilikan Petronas berpusat di bawah Kerajaan Persekutuan, pendekatan diguna pakai ketika ini membolehkan negeri-negeri pengeluar menerima manfaat langsung daripada industri petroleum melalui bayaran tunai dan pelbagai bentuk kerjasama komersial.
Menurutnya, pada masa sama, hasil keseluruhan daripada sektor ini turut diagihkan secara saksama ke seluruh negara, selaras dengan keperluan pembangunan negara.
“Kerajaan Persekutuan pada masa ini merupakan pemilik tunggal Petronas, yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat minyak dan gas negara.
“Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] mengamanahkan Petronas dengan pemunyaan mengenai petroleum dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif bagi meneroka, mengurus dan membangunkan sumber petroleum negara, sama ada di daratan, di pantai atau di luar pantai Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, sebagai syarikat milik negara, Petronas bukan sahaja berperanan dalam pembangunan sektor tenaga domestik, tetapi juga menjana pendapatan negara melalui operasi dan pelaburan global.
Katanya, keuntungan ini disalurkan kembali kepada negara bagi menyokong agenda pembangunan nasional yang menyeluruh.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis pada laman web Parlimen hari ini, menjawab soalan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr. Jeffrey Gapari Kitingan.
Jeffrey bertanya sama ada kerajaan mempertimbangkan mengagihkan 50 peratus saham pemilikan dalam Petronas kepada wilayah dan negeri pengeluar minyak dan gas iaitu Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan sebagai langkah fundamental untuk memperkukuh Persekutuan Malaysia.
Azalina berkata, sejak penubuhan Petronas, ia telah menyumbang lebih RM1.5 trilion kepada negara setakat tahun 2024, merangkumi dividen, bayaran tunai, cukai petroleum dan cukai korporat.
“Sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan amanahnya di bawah Akta 144, pulangan ini telah pun menyumbang secara signifikan kepada agenda pembangunan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE