PETALING JAYA – Petronas bersama syarikat tenaga Itali, Eni, mengumumkan penubuhan Searah, sebuah syarikat usaha sama dengan kepentingan masing-masing 50 peratus yang menggabungkan aset terpilih di Malaysia dan Indonesia.
Ini adalah sebahagian daripada strategi berasaskan kerjasama bagi meningkatkan nilai portfolio, menyokong pembangunan tenaga mampan serta memperkukuh keselamatan tenaga negara dan rantau.
Beroperasi sebagai entiti bebas, Searah menyediakan platform lebih fokus untuk meningkatkan prestasi operasi dan mempercepatkan penciptaan nilai, seiring dengan usaha berterusan Petronas mengoptimumkan portfolio serta meneroka peluang pertumbuhan baharu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, penubuhan Searah selaras dengan tumpuan syarikat untuk melaksanakan disiplin lebih ketat dalam pembangunan sumber, pengagihan modal lebih tangkas serta penekanan terhadap penciptaan nilai berterusan dalam rantaian gas.
“Dengan memanfaatkan portfolio dan kepakaran kedua-dua pihak, Searah dijangka dapat melancarkan lagi operasi, ketahanan kewangan dan kapasiti pertumbuhan dalam memenuhi keperluan tenaga serantau secara bertanggungjawab, sambil menyumbang kepada keselamatan bekalan jangka panjang di Indonesia dan Malaysia,” katanya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eni, Claudio Descalzi menjelaskan, Searah mencerminkan strategi satelit syarikat yang terbukti berkesan dalam membina perniagaan berkualiti tinggi, menggabungkan skala, kecekapan dan pertumbuhan dengan sokongan teknologi serta inovasi.
Melalui portfolio 19 aset pengeluaran dan pembangunan gas yang mana 14 di Indonesia dan lima di Malaysia, Searah bermula dengan kapasiti pengeluaran sekitar 300,000 tong setara minyak sehari (boe/d), dengan sasaran lebih 500,000 boe/d dalam tempoh tiga tahun.
Entiti baharu itu turut disokong kemudahan kredit bergilir bernilai AS$6 bilion (RM24.24 bilion), dengan jangkaan pelaburan mencecah AS$20 bilion (RM80.8 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Pelaburan ini dijangka menyokong pembangunan lebih tiga bilion tong setara minyak sumber yang telah ditemui serta membuka potensi penerokaan tambahan. -KOSMO! ONLINE













