KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu pemberi maklumat (whistleblower) pernah menghantar aduan berkenaan kebocoran maklumat yang dilakukan bekas pengurus kanan Petronas, Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni pada Jun 2024, namun ditarik balik.
Menurut Pengurus Kanan Pengurusan Aduan Petronas, Lailatul Badriah Razali, 45, aduan rasmi yang diterima pihaknya adalah pada 6 Disember 2024 menerusi saluran Petronas Whistleblowing (WB).
Bagaimanapun, semakan rekod mendapati terdapat satu penghantaran aduan terdahulu pada 8 Jun tahun sama daripada alamat e-mel yang sama, namun aduan berkenaan telah ditarik balik.
“Dalam e-mel yang diterima daripada blower (pengadu), e-mel asal menunjukkan ia dah dihantar pada 8 Jun.
“Namun, pihak kami hanya menerima emel ini pada 6 Disember dan bukan pada 8 Jun. Sebab kalau ikutkan di dalam itu (rekod emel), tertera dia dah recall (tarik balik),” kata saksi itu.
Pendedahan tersebut dibuat saksi pendakwaan keempat itu pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan.
Lailatul Badriah juga menjelaskan tugasnya sebagai sekretariat WB adalah menerima, merekod serta menguruskan aduan yang diterima sebelum menyerahkannya kepada Jawatankuasa Whistleblowing untuk tindakan lanjut.
“Selepas menerima aduan tersebut, saya terus membawa perkara itu kepada Chief Integrity Officer (CIO), iaitu Mohamad Zakkuan Talib selaku Pengerusi Jawatankuasa Whistleblowing.
“Setelah semakan dibuat, beliau memutuskan supaya aduan tersebut dirujuk kepada pihak Human Resource – Industrial Relations (HR-IR) untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Louis Liaw Vern Xien yang mewakili tertuduh, saksi itu mengesahkan tidak membuat sebarang pertanyaan lanjut kepada pengadu berhubung sebab aduan pertama yang dihantar pada 8 Jun 2024 ditarik balik sebelum dihantar semula pada Disember tahun sama.
Sementara itu, Lailatul Badriah turut bersetuju bahawa pengadu merupakan rakan sekerja Mohd. Khairul Akmal yang ketika itu sedang melalui proses pengambilan bekerja dengan Petros.
Vern Xien: “The employee as per email below is a friend of mine who is currently in the recruitment process with Petros”. Itu yang dikatakan oleh whistleblower, betul?
Lailatul Badriah: Betul.
Vern Xien: Maknanya dia mengatakan bahawa orang yang membocorkan maklumat sulit tersebut adalah seorang pekerja Petronas, betul?
Lailatul Badriah: Betul.
Vern Xien: Dan dia juga mengaku bahawa pekerja tersebut adalah ‘friend of mine’, kawan kepada whistleblower, betul?
Lailatul Badriah: Betul
Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, didakwa cuba mendedahkan maklumat dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial kepada Petros di antara pukul 3.19 hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024 di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung 22 September ini. – KOSMO! ONLINE














