JOHOR BAHRU – Seorang lelaki kategori orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan tongkat untuk bergerak kerana sebelah kakinya kudung tidak menjadikan kekurangan tersebut sebagai alasan untuk tidak berusaha mencari rezeki.
Sebaliknya, K. Murugan, 51, tetap bersyukur kerana masih diberi kesihatan dan keupayaan untuk menjadi usahawan tani walaupun kaki kanannya terpaksa dipotong hingga paras lutut akibat jangkitan kuman.
Katanya, isteri, A. Kogilavani, 41, merupakan individu yang banyak memberikan kekuatan buat dirinya untuk terus menjalani kehidupan.
“Saya bergerak menggunakan tongkat ketika melakukan aktiviti pertanian. Selain tanaman secara hidroponik, saya juga menanam sayur dan buah menggunakan bekas sisa makanan.
“Sebelum ini saya merupakan seorang pemandu mesin jengkaut selama 30 tahun. Kehidupan saya berubah setelah kehilangan sebelah kaki.
“Minat dalam bidang tananam kecil-kecilan ini muncul selepas melihat satu video di YouTube,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Nesa, Skudai, di sini semalam.
Katanya, dia menghabiskan masa kira-kira lima jam setiap hari untuk menguruskan kebun tanaman kecil-kecilan yang diusahakan bersama isterinya.
“Selain bertani, saya juga ada berkongsi ilmu berkaitan dengan murid dan pelajar sekolah berhampiran, khususnya berkaitan kaedah tanaman hidroponik atau bekas sisa makanan.
“Kadangkala rasa penat juga, kerana terpaksa bergerak menggunakan tongkat.
“Kaki palsu di pasaran ketika ini tidak sesuai dengan aktiviti menanam, yang ada kaki palsu hidraulik berharga RM20,000 tetapi saya tidak mampu membeli,” ujarnya.
Menurut Murugan, dia bersyukur kerana menjadi salah seorang penerima geran Iskandar Puteri Rendah Karbon 3.0 daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi melaksana projek tanaman kaedah bekas sisa makanan.
Katanya, dia telah menerima lebih daripada 10 anugerah berkaitan pertanian termasuk pingat emas dalam Anugerah Inovasi anjuran Jabatan Pertanian Negeri Johor pada 2019.
“Saya berharap akan terus diberikan kesihatan untuk menjayakan projek tanaman ini.
“Selain itu, saya berharap agar usaha ini dapat memberi inspirasi dan semangat kepada golongan muda untuk menyumbang melalui bidang pertanian walaupun dilakukan secara kecil-kecilan,” ujarnya.














