BALING – Seorang wanita maut manakala dua lagi parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kupang, Kampung Rambong, di sini kira-kira pukul 5.30 petang tadi.
Ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Viva dikatakan datang dari Perak dan dalam perjalanan ke satu program keagamaan di Pekan Baling.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sejurus ia berlaku.
“Sebaik tiba di lokasi didapati dua kereta iaitu sebuah Perodua Viva dan Myvi dipercayai bertembung menyebabkan salah satu kereta berasap,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pemandu Perodua Viva itu didapati tersepit dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Daerah Baling,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE