SUNGAI PETANI – Tindakan seorang wanita memasuki bilik dalam kejadian di sebuah pepasangan elektrik di Taman Ria Jaya di sini disyaki untuk mencuri kabel membawa padah apabila dia terkena renjatan elektrik, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya mengalami kecederaan parah pada muka dan badan akibat melecur sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sebaik menerima laporan daripada orang awam, pihaknya bergegas ke lokasi dan mendapati seorang wanita mengalami kecederaan parah akibat melecur.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika wanita itu cuba mencuri kabel di bilik pencawang. Mangsa berada dalam keadaan kritikal selepas melecur 70 peratus pada bahagian muka dan badan. Dia ditidurkan oleh pihak hospital,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya sedang mengesan waris wanita itu selain menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil maklum mengenai satu kemalangan elektrik yang melibatkan seorang wanita awam di sebuah pepasangan elektrik di Taman Tema Air, Sungai Petani, Kedah itu.
Pihaknya menerusi kenyataan, mengesahkan bahawa aset yang terlibat adalah bukan milik atau di bawah seliaan TNB.
TNB juga menegaskan bahawa pepasangan elektrik seperti papan suis utama dan kabel elektrik adalah berbahaya serta tidak boleh disentuh atau diceroboh oleh mana-mana pihak. – KOSMO! ONLINE














