SABAK BERNAM – Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan reput di kawasan paya bakau Sungai Haji Dorani, Sungai Besar di sini, semalam.
Mayat mangsa berusia 58 tahun itu dijumpai orang awam sebelum memaklumkan kejadian kepada polis, kira-kira pukul 4.45 petang.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa merupakan penduduk tempatan dan hasil laporan bedah siasat hospital mengesahkan tiada unsur jenayah ditemukan.
“Keadaan mayat mangsa menunjukkan bahawa ia telah mengalami proses pereputan. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Inspektor Mohd. Zulkhairie Mohd. Noor di talian 019-3634919 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE














