KAJANG – Penduduk di Flat Taman Impian Indah di sini, tidak menyangka bau busuk yang disangka berpunca daripada ikan pekasam yang dimasak jiran membawa kepada penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah bagasi, semalam.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Liz, 48, berkata, bau tersebut mula dihidu oleh penduduk sejak dua hari lalu, namun langsung tidak mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku.
“Memang ada bau pelik. Macam bau ikan pekasam. Kami ingat rumah siapa pula yang masak ikan pekasam hari-hari. Tak sangka rupa-rupanya bau itu datang daripada mayat,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Menurutnya, mayat itu ditemukan selepas pemilik rumah datang membuat pemeriksaan kerana penyewa dikatakan gagal membayar sewa selama kira-kira sebulan.
“Pemilik rumah buka pintu, kemudian jumpa bagasi yang ada mayat di dalam rumah. Bukan di luar, tetapi dalam ruang rumah,” ujarnya.
Liz yang sudah 22 tahun menetap di kawasan itu berkata, dia tidak mengenali penyewa terbabit selain tidak pernah berjumpa dengan mereka.
“Mereka baru menyewa di sini. Keluar masuk pun tak tentu masa, memang kami tak kenal,” katanya.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu sebaik pulang daripada menziarahi keluarga sebelum melihat kawasan rumah tersebut dipenuhi orang ramai.
“Saya memang terkejut. Tak jangka langsung perkara macam ini berlaku di kawasan sini. Sebelum ini kes curi atau gaduh biasa ada, tetapi kes jumpa mayat macam ini memang kali pertama,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa yang merupakan lelaki warga asing berusia 20-an berkata, dia baru berpindah ke kawasan tersebut tidak pernah mengenali atau berjumpa dengan penghuni kediaman berkenaan.
Katanya, tiada sebarang perkara pelik yang berlaku atau bunyi bising sehari sebelum kejadian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, proses bedah siasat mangsa sedang dijalankan termasuk merakam keterangan pemilik rumah bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemilik rumah menemui mayat seorang wanita di dalam sebuah bagasi ketika membuat pemeriksaan di rumah sewanya, semalam.
Mayat tersebut ditemukan di ruang tamu rumah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE














