PETALING JAYA – Menteri Komunikasi berkongsi rasa dukacita di atas pemergian seorang seniman tanah air, Ross Ariffin, petang tadi.
Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam satu hantaran di laman X berkata, berita tersebut disampaikan oleh pihak Rumah Seri Kenangan Cheras yang menjadi tempat tinggal Allahyarham sejak November tahun lalu.
“Uncle Ross merupakan komposer yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik tempatan.
“Saya telah beberapa kali menemui Allahyarham. Beliau berdepan dengan kehidupan yang mencabar, namun tetap tabah meneruskan perjalanan sebagai anak seni,” katanya di sini, tadi.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan punca kematian komposer tersebut.
Selain itu, Fahmi turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Tahun lalu, kisah menyayat hati pemuzik dan komposer terkenal, Ross Ariffin atau nama sebenarnya, Roslan Ariffin Jamil, 63, mendapat perhatian ramai apabila dikatakan telah menjadi gelandangan sejak lebih tiga tahun lalu.
Allahyarham kemudian berjaya keluar daripada status gelandangan apabila menerima kediaman projek perumahan rakyat (PPR) Muhibbah di ibu kota daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ross yang merupakan anak kelahiran Melaka telah menggubah banyak lagu popular serta lagunya juga dinyanyikan barisan penyanyi tanah air terkenal.
Antara lagu popular gubahannya ialah Dia, nyanyian Fauziah Latiff (lirik oleh Amran Omar), Kau dan Aku untuk Ning Baizura (lirik oleh Ning Baizura), Kurniaan Dalam Samaran dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza (lirik oleh S. Amin Shahab) dan Semalam Ku Tolak Ke Tepi nyanyian Liza Aziz (lirik oleh Datuk Habsah Hassan). – KOSMO! ONLINE