KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 102.1 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM10 juta dalam tiga operasi di Rantau Panjang.
Rampasan pada pukul 10.30 pagi, 23 April lalu yang dilaksanakan Pasukan Operasi JKDM Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang membawa kepada penahanan tiga suspek termasuk dua wanita.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya menemui tiga buah bagasi yang ditinggalkan di Pintu 1, Zon Bebas di sini.
Katanya, pemeriksaan terhadap beg itu menjumpai sebanyak 88 peket plastik lutsinar disyaki bunga ganja.
“Pada masa sama, pemeriksaan ke atas seorang wanita yang membonceng motosikal bersama beg yang dibawanya turut menemukan 32 paket plastik lutsinar berisi dadah sama.
“Anggota kemudian menyerbu hentian bas ekspres Rantau Panjang pada pukul 11 pagi sebelum menahan dua suspek termasuk seorang wanita,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam berkata, pihaknya turut merampas dua buah beg berisi 60 peket plastik berisi bunga ganja bersama kedua-dua suspek.
Enam buah beg yang dirampas itu berisi 180 peket plastik bunga ganja seberat lebih 102.1 kg bernilai lebih RM10 juta.
“Siasatan lanjut mendapati, sindiket menyeludup bunga ganja melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok melalui Zon Bebas di sini,” ujarnya.
Suspek dan rampasan itu dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Rantau Panjang untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE