fbpx
ANAK buaya tembaga seberat kira-kira 10 kilogram yang tersangkut pada jala seorang penduduk ketika menjala ikan di Sungai Lereh, Melaka pagi tadi. Foto oleh AMRAN ALI

Mahu jala ikan, dapat anak buaya 10kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang penduduk di Rumah Pangsa Lereh berdepan detik cemas apabila seekor anak buaya tembaga seberat kira-kira 10 kilogram tersangkut pada jala yang dilontarnya ketika menangkap ikan di Sungai Lereh di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Mohd Rafi Musa, 36, berkata, dia sedang menjala ikan untuk kegunaan sendiri sebelum dikejutkan dengan kehadiran reptilia berkenaan.

“Dah banyak kali jumpa buaya di sungai ini, kali ini yang tersangkut pada jala cuma anak buaya, pernah juga nampak yang lebih besar.

“Saya anggarkan ada lima ekor buaya di Sungai Lereh termasuk dua daripadanya yang selalu kelihatan di bawah jambatan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Mohd Rafi berkata, walaupun buaya di kawasan itu tidak pernah mengganggu penduduk, dia tetap bimbang dengan keselamatan kanak-kanak yang sering bermain berhampiran sungai berkenaan.

Katanya, sebaik menyedari haiwan itu tersangkut pada jala, dia bertindak menangkapnya sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri  Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai penemuan reptilia tersebut berkata, pihaknya telah memohon Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah memasang papan tanda amaran buaya di sepanjang Sungai Lereh. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN