KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan percanggahan dokumen dan kemungkinan penyelewengan dalam pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Tennoji Zoo Osaka (TZO), Jepun.
Presidennya, Rajesh Nagarajan berkata, memorandum rasmi berhubung perkara itu diserahkan kepada Bukit Aman hari ini bagi memohon siasatan menyeluruh terhadap pemindahan melibatkan gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
Menurutnya, hasil penelitian Peka mendapati terdapat beberapa percanggahan ketara melibatkan permit Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES), sijil kesihatan haiwan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), invois transaksi serta dokumen pengangkutan udara (airway bill).
“Dakwaan percanggahan dokumen ini menimbulkan keraguan sama ada proses pemindahan gajah DAK dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang atau wujud sebarang penyelewengan dan salah laku oleh pihak tertentu.
“Justeru, Peka berpandangan sebuah Pasukan Petugas Khas perlu diwujudkan bagi menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh memandangkan kes ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta transaksi antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil Ketua Polis Negara, Asisten Superintendan Norbariah Fazuan Ramli di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut memohon supaya semua laporan polis yang telah dibuat berhubung isu itu disiasat secara menyeluruh termasuk meneliti status semasa siasatan.
Katanya, pasukan khas itu juga perlu mengesahkan kesahihan semua dokumen berkaitan termasuk permit CITES, sijil kesihatan DVS, invois, airway bill, surat-menyurat rasmi antara agensi serta sebarang kelulusan yang diberikan.
Selain itu, Peka turut meminta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam proses pemindahan berkenaan termasuk pegawai Zoo Taiping, DVS, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak swasta dipanggil bagi membantu siasatan.
“Kepercayaan rakyat terhadap integriti pengurusan hidupan liar negara bergantung kepada ketelusan dan akauntabiliti pihak berkuasa dalam menangani isu seperti ini.
“Pemindahan gajah DAK bukan sekadar isu pengurusan zoo, malah melibatkan obligasi antarabangsa Malaysia di bawah CITES serta kepentingan awam dalam usaha memelihara biodiversiti negara,” ujarnya.
Tambah beliau, Peka bersedia memberi kerjasama penuh kepada pasukan petugas khas dengan menyerahkan segala dokumen dan maklumat yang dimiliki bagi membantu siasatan.
Terdahulu, menerusi laporan media sebelum ini Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menjelaskan tiga ekor gajah berkenaan yang kini ditempatkan di TZO melibatkan perjanjian bersama Zoo Taiping and Night Safari (ZTNS) bagi tempoh selama 25 tahun.
Perjanjian itu merupakan kerjasama antarabangsa yang dipersetujui di antara TZO dengan ZTNS yang diwakili oleh MPT dan telah dipersetujui pada Mei dan Oktober 2022. – KOSMO! ONLINE














