SEBERANG PERAI – Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi terus komited membantu syarikat-syarikat industri media di negara ini yang berdepan dengan tekanan ekonomi sehingga terpaksa memberhentikan pekerjanya khususnya pengamal media.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu ekonomi yang semakin menekan industri media ketika ini seharusnya diberi perhatian serius dan perlu dibincangkan dalam kadar segera.
“Antara perkara yang bagi saya paling mencabar pada ketika ini ialah isu ekonomi yang memberi tekanan besar kepada syarikat-syarikat media.
“Ini berlaku apabila platform-platform media sosial tidak membantu memberi sama ada imbuhan ataupun bayaran yang setimpal dengan jumlah kandungan yang disiar.
“Dengan jumlah tontonan ataupun pembaca yang mendapatkan maklumat yang dijana, dihasilkan oleh media arus perdana tetapi diletakkan dalam media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada sesi Dialog Menteri Komunikasi dan Media Sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2026 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar Majlis Media Malaysia (MMM) mengadakan perbincangan bersama platform-platform media sosial bagi mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.
“Pihak kerajaan bersedia memainkan peranan membantu proses berkenaan. Tetapi penting untuk platform-platform media sosial memahami bahawa perubahan-perubahan yang sedang berlaku termasuk sebaran berita palsu, kandungan yang bersifat pindaan dan laporan tertentu contohnya laporan berkaitan tingkah laku bunuh diri.
“Di pihak media, laporan dilakukan dengan beretika, tetapi kadangkala kandungan sama ada yang dicuri ataupun yang dimuat naik sendiri oleh mereka yang berada di lokasi, tidak menepati garis-garis panduan dan juga tahap etika kewartawanan.
“Maka kita harap ada perbincangan, dan saya akan panjangkan juga hasrat ini kepada platform-platform media sosial,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pemberhentian pekerja khususnya pengamal media susulan perubahan penguasaan media sosial, beliau dalam ucapannya memberitahu, kerajaan sedaya upaya mencari penyelesaian dalam menangani permasalahan tersebut.
“Nak buat apa-apa yang melibatkan pekerja itu datang jumpa saya dan saya tengok macam mana saya boleh buat. Kalau Telco yang syarikat besar pun saya bantu apatah lagi rakan-rakan media yang sangat-sangat berminat bekerja.
“Beritahu kepada saya tapi janganlah esok nak umum (pemberhentian pekerja) hari ini baru nak beritahu. Janganlah…Ini termasuklah pihak pemegang taruh,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














