fbpx
Fantastic Four First Steps diterjemahkan cukup cemerlang termasuk dari segi jalan cerita, skor muzik dan kesan visual.

Fantastic Four: First Steps, antara filem Marvel terbaik setakat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENULIS hampir mati akal untuk menggambarkan betapa terdampak menonton Fantastic Four: First Steps yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 24 Julai 2025 (Khamis lalu).

Kendatipun, sebagai peminat francais Fantastic Four, jiwa kecil ini sekarang sangat ‘terisi’ dengan pelbagai perihal positif–gembira, bahagia, puas hati dan terjentik naluri penuh nostalgia, semua itu kini bersarang dalam sanubari.

Siapa sangka, kisah superhero atau adiwira yang sangat meluhur semangat kekeluargaan dan persaudaraan suatu ketika dahulu sedari 1994 (didokumentasi) dalam bentuk filem unreleased kini dijelmakan kembali penuh waja pada 2025.

Sempat menghabiskan sedikit masa kira-kira 1 jam 55 minit di Aurum Theatre, TRX Selasa lalu dan hasilnya, tidak langsung menghampakan.

Berani dengan penuh rasa bangga berkepak penulis sifatkan First Steps merupakan antara filem MCU paling meninggalkan kesan. Bahkan, yang terbaik untuk tahun ini. Kalau sebelum ini takhta itu disandang Thunderbolts*, sekarang tidak lagi.

Bukan berniat untuk membanding-bandingkan tetapi First Steps memberi ‘banyak’ rasa buat audiens seperti penulis.

Plot, visual cantik

Pertama sekali, naratif filem ini cukup luar biasa dikembang dan diterjemahkan. Untuk itu, terima kasih buat pihak yang merealisasikannya iaitu Matt Shakman selaku pengarah dan penulis lakon layar terlibat (Eric Pearson dan rakan-rakan lain).

Pedro Pascal menjayakan karakter Reed Richards atau Mister Fantastic dengan cemerlang dan cukup meninggalkan kesan kepada penonton. — Marvel Studios

Jalan cerita First Steps diolah penuh cermat sehinggakan jiwa penulis diisi dengan berbagai rasa termasuklah pembentukan semangat menjaga ketenteraman dunia, kesedaran kebersamaan dan paling penting, tali kekeluargaan.

Semua itu ditonjolkan penuh dedikasi menerusi empat karakter utama, Mister Fantastic lakonan Pedro Pascal, Invisible Woman (Vanessa Kirby), Human Torch (Joseph Quinn) dan The Thing (Ebon Moss-Bachrach).

Tanpa mendedahkan terlalu banyak bocoran awal (spoiler alert), cukuplah disimpulkan keempat-empat pelakon tersebut berjaya menghidupkan karakter masing-masing tanpa perlu dibayangi kejayaan atau kegagalan jenama filem Fantastic Four terdahulu.

Keduanya, visual dalam First Steps diterjemahkan dengan cukup cemerlang. Disebabkan kehebatan empat angkasawan ‘luar biasa’ yang bertukar DNA manusia ketika berada di angkasa lepas, kebanyakan babak pertarungan menggunakan kesan khas (VFX) dan itu melerengkan usaha elemen visual dilunaskan penuh cermat serta saksama.

Antara kualiti yang dipuji ramai terhadap terjemahan Fantastic Four First Steps adalah kesan visual yang cukup hebat.

Bahkan, ‘screentime’ antihero atau villain iaitu Shalla-Bal dan Galactus juga dioptimakan sebaik mungkin. VFX atau teknik janaan komputer (CGI) dalam First Steps selayaknya berstatus chef’s kiss.

I love you, Franklin!

Penulis secara peribadi paling kurang berdepan masalah menghadam Fantastic Four: First Steps berbanding filem Marvel lain sejak dua tiga menjak ini.

Seperkara lagi, buat mereka yang sudah menonton barangkali bersetuju filem ini membuatkan kita terus pulang ke rumah memeluk orang yang kita sayang (terutama orang tua) kerana sememangnya, mereka telah banyak berkorban dari pelbagai segi termasuk bertarung nyawa demi kelangsungan hidup kita.

Itu dapat dilihat menerusi sinergi empat karakter utama iaitu Reed, Ben, Susan dan Johnny. Bahkan, menerusi Shalla-Bal atau Silver Surfer, mesej itu juga tertekun dalam hati. Terima kasih Julia Garner atas komitmen menghidupkan karakter Shalla-Bal.

Juga meninggalkan kesan adalah skor muzik filem Fantastic Four. Kesemua skor yang ‘ditempatkan’ dalam setiap babak dalam naskhah ini sememangnya berada di bahagian yang tepat. Sekali gus membuatkan audiens merinding ketika melunaskan tontonan filem ini.

Keseluruhan, Fantastic Four First Steps sememangnya filem terbaik MCU untuk waktu terdekat ini. Satu lagi naskhah terus merancakkan Phase 6 Marvel Cinematic Universe. Andai First Steps satu lembaran kertas jawapan peperiksaan, penulis tidak teragak-agak memberi markah 90 peratus ke atas. Bravo!

Reed bersama isteri, Sue dan anak kesayangan (Franklin) yang dikatakan memiliki kuasa luar biasa menjadi rebutan villain bernama Galactus.
Fantastic Four: First Steps
Pengarah: Matt Shakman
Pelakon:Pedro Pascal, Vanessa Kirby, Ebon Moss-Bachrach, Joseph Quinn, Julia Garner
Sumber: Marvel Studios, 20th Century Studios
Tayangan: 24 Julai 2025
Durasi: 1 Jam 55 minit
Bintang: ★★★★★
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI