fbpx
Syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, Seres baru-baru ini tampil mempatenkan teknologi tandas di dalam kereta yang dirintis mereka dengan menggunakan arahan suara dan sistem pembersihan automatik.

Buang air besar dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INOVASI dalam industri automotif sentiasa berkembang dengan pengenalan teknologi baharu.

Sebuah syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) di China, Seres menarik perhatian dunia baru-baru ini apabila tampil mempatenkan inovasi tandas tersembunyi di bawah tempat duduk kereta. Ia dilaporkan banyak media Barat termasuk BBC News, New York Post dan banyak lagi.

Tidak hanya terlindung daripada pandangan, tandas itu juga dilengkapi dengan teknologi yang boleh dikendalikan menggunakan arahan suara dan mempunyai sistem pembersihan autonomi.

Menurut laporan, tandas itu menggunakan elemen pemanas untuk mengeringkan sisa secara automatik berbanding pam air dengan kuasa besar.

Cara itu secara tidak langsung menjadikan sistem lebih kompak dan kurang risiko bocor berbanding tandas tradisional.

“Tandas dalam kenderaan boleh diakses secara manual dengan menolak tempat duduk ke belakang melalui arahan suara.

“Reka bentuk tempat duduk yang mudah diubah ini dapat mengoptimumkan penggunaan ruang di dalam kenderaan,” ujar Seres dalam dokumen pemfailan paten.

Sementara itu, kerja-kerja pembersihan boleh dibuat secara automatik sebaik sahaja tandas digunakan.

Sistem tandas itu akan mengaktifkan kipas dan paip ekzos untuk memastikan bau tidak merebak ke ruang kabin.

Walaupun kedengaran janggal, namun teknologi itu dilihat praktikal bagi memenuhi keperluan pengguna yang sukar untuk pergi ke tandas terutamanya ketika menempuh perjalanan jarak jauh dan kesesakan lalu lintas.

GAMBARAN AI reka bentuk tandas dalam kenderaan yang diciptakan oleh Seres.

Teknologi tersebut juga dilihat sebagai transisi automatik baharu dan mobiliti autonomi pada masa depan.

Memetik BBC News, penggunaan integrasi kawalan pintar seperti arahan suara membuktikan bahawa sistem tersebut dapat berfungsi dengan cekap.

Kaedah berkenaan selari dengan trend kenderaan pintar yang semakin bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) atau bersifat automasi.

“Pendekatan ini mencerminkan usaha pengeluar EV untuk memudahkan dan meningkatkan keselesaan penumpang ketika di dalam kereta.

“Namun, merealisasikan tandas dalam kenderaan menjadi cabaran utama buat jurutera terutama dari segi pengurusan sisa, kawalan bau dan kebersihan,” katanya.

Difahamkan konsep tandas kenderaan yang dicadangkan itu menggunakan mekanisme tangki tertutup, sistem vakum dan bahan kimia khas bagi memastikan sisa dapat diuruskan dengan selamat.

Secara teknikal, teknologi tersebut bukan sesuatu yang baharu sepenuhnya kerana ia telah digunakan dalam pesawat dan kenderaan rekreasi (RV) sebelum ini.

Bagaimanapun, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebelum tandas kenderaan boleh digunakan dalam kereta penumpang biasa.

Bagi pensyarah kejuruteraan automotif di Jepun, Prof. Kenji Takahashi, kumpulan jurutera perlu mengambil kira keselesaan penumpang dalam ruang kereta agar tidak terganggu dengan kehadiran tandas berkenaan.

“Tandas merupakan satu sudut privasi yang perlu tertutup.

“Jadi, hal itu perlu diambil kira jika bersama penumpang lain di sebelah saat menggunakan tandas.

“Pada masa sama, tandas berkenaan juga perlu menggunakan sistem yang lebih kompak dan efisien kerana ruang di dalam kenderaan sangat terhad,” katanya.

Sementara itu, menurut laporan New York Post, inovasi berkenaan akan menjadi titik perubahan dalam corak penggunaan EV pada masa depan.

Lakaran paten tandas dalam kereta yang dikeluarkan oleh Seres.

Ujarnya, peningkatan penggunaan EV untuk perjalanan jarak jauh dijangka meningkat dengan ketara selepas pengenalan tandas berkenaan.

Tandas berkenaan boleh menjadi nilai tambah yang signifikan buat EV, selain keperluan meningkatkan kapasiti bateri bagi mengurangkan kekerapan berhenti untuk mengecas.

“Teknologi ini berpotensi memberi manfaat kepada golongan tertentu seperti warga emas, kanak-kanak atau individu dengan keperluan khas yang memerlukan akses tandas secara lebih kerap,” kata laporan media antarabangsa itu.

Biarpun kemudahan tandas dalam kenderaan dapat memberi manfaat, namun pengguna masih tertanya-tanya tahap keberkesanannya bagi jangka masa panjang.

Faktor budaya, keselesaan psikologi dan persepsi terhadap kebersihan memainkan peranan penting bagi menentukan sama ada inovasi itu akan diterima secara meluas atau sekadar trend.

Untuk makluman, kenderaan EV yang dikendalikan oleh AI dan sistem digital masih boleh dianggap sebagai fasa pengenalan kepada pengguna.

Hal ini kerana masih banyak pengguna yang masih selesa menggunakan kenderaan berasaskan bahan bakar.

“Ini mungkin dianggap sebagai ‘berita baik’ buat mereka yang sering berhadapan dengan masalah penggunaan tandas ketika kesesakan lalu lintas atau perjalanan jauh tanpa kemudahan hentian rehat.

“Namun, banyak persoalan timbul berkaitan keselamatan dan undang-undang yang perlu diberi perhatian.

“Sistem sebegini dalam kenderaan bergerak memerlukan garis panduan yang jelas bagi memastikan ia tidak mengganggu pemanduan atau menimbulkan risiko lain.

“Ini termasuk aspek pemasangan, penyelenggaraan serta pelupusan sisa yang mematuhi piawaian kesihatan dan alam sekitar,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pemerhati teknologi, Rebecca Sinclair berpendapat, langkah memfailkan paten itu menunjukkan kesungguhan Seres dalam meneroka sempadan inovasi baharu.

Ini menjadikan kenderaan bukan sekadar alat pengangkutan tetapi sebuah ruang bergerak yang serba lengkap.

“Konsep tandas dalam kenderaan seperti ini mungkin kedengaran pelik. Namun, kemudahan ini sudah biasa kita gunakan tanpa sedar.

“Mungkin mereka perlukan masa untuk ‘memproses maklumat’ dan menerima kenyataan bahawa kita sedang bergerak ke arah ekosistem mobiliti masa depan yang lebih canggih,” ujarnya.

Bagaimanapun, teknologi yang dipatenkan pada awal bulan ini itu masih belum dapat dipastikan sama ada akan dikomersialkan atau tidak.

Hakikatnya, berita mengenai tandas di dalam kenderaan itu telah membuka ruang perbincangan baharu tentang reka bentuk EV pada masa akan datang dalam memenuhi keperluan manusia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN